Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Nakhaie Ahmad menawarkan diri untuk menjadi saksi dan memberi keterangan berkaitan laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad kerana didakwa menghina agama Islam.

Nakhaie berkata, beliau rela memberi keterangan dalam kes tersebut untuk membuktikan bahawa dakwaan terhadap Dr Mahathir adalah tidak benar dan tidak berasas.

Ketika dihubungi hari ini, Nakhaie berkata kritikan dan kenyataan yang dibuat oleh Dr Mahathir tidak ditujukan terhadap hukum Islam itu sendiri, tetapi perlaksanaan yang dibuat oleh pemimpin PAS.

"Kritikan yang dibuat adalah terhadap hukum Hudud PAS dan bukan hukum Hudud itu sendiri. Hukum yang dibuat oleh PAS tidak menjamin keadilan kepada rakyat. Keadilan adalan asas utama dalam perlaksanaan hukum Islam.

"Walaupun hukum itu didapati dari sumber al-Quran, tetapi yang menjalankan perlaksanaan itu adalah manusia. Jadi, untuk menjalankan hukum, memerlukan sistem yang kukuh dan PAS gagal dari segi ini," katanya.

Nakhaie juga mendakwa bahawa laporan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang Abdul Fatah Haron terhadap Dr Mahathir semalam bermotifkan politik dan bertujuan untuk mengalihkan pandangan masyarakat berhubung kesalahan-kesalahan yang dibuat oleh pemimpin PAS baru-baru ini.

Maklumat

"Contohnya, Datuk Nik Aziz (yang mendakwa Dr Mahathir tidak tahu baca al-Quran) yang jelas menyalahi undang-undang dan boleh didakwa. Begitu juga kesalahan berkaitan Akta Rahsia Rasmi yang dilakukan oleh Datuk Abdul Hadi Awang (Mentri Besar Terengganu).

Bagaimanapun, Dr Mahathir telah memaafkan Nik Aziz berkata apa yang sebenarnya mahu dikatakanya ialah Perdana Menteri tidak tahu berbahasa Arab. Manakala Abdul Hadi pula menyatakan bahawa pihak Barisan Alternatif (BA) mendapat maklumat daripada pegawai kerajaan ketika menyediakan bajet BA.

"Mereka (PAS) sedang mencari-cari alasan untuk mendakwa Dr Mahathir dan tindakan mereka ini adalah berasas kepada persepsi mereka sendiri dan bukannya apa yang benar-benar dikatakan oleh Dr Mahathir," kata Nakhaie lagi.

Beliau berkata terpulanglah kepada pihak polis untuk menyiasat laporan ini atau tidak.

Semalam Abdul Fatah membuat satu laporan polis di Balai Polis Dang Wangi Kuala Lumpur, meminta pihak polis menyiasat lima kenyataan Dr Mahathir mengikut Seksyen 298 Kanun Kesiksaan kerana didakwanya menghina Islam, selaku agama rasmi Malaysia.

Dalam laporannya itu, beliau telah menyenaraikan kenyataan-kenyataan Dr Mahathir dari tahun 1992 hingga Jun 2002, yang antaranya berkaitan dengan isu janggut Nabi, Hudud dan mengenai pemimpin PAS.

Kredibiliti polis

Abdul Fatah mendakwa kenyataan-kenyataan itu bukan sahaja memperlekehkan Islam tetapi boleh mempengaruhi masyarakat Islam di negara ini supaya memandangkan Dr Mahathir sebagai "pemimpin nombor satu Malaysia".

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Nasharuddin Mat Isa, berkata yang penting bukanlah motif di sebalik laporan polis itu dibuat.

"Kami membuat laporan polis dan berharap polis akan bertindak secara profesional dan cepat sepertimana yang ditunjukkan dalam pengendalian kes terhadap pemimpin PAS sebelum ini," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata jika pihak polis gagal bersikap professional, ini akan jelas membuktikan bahawa sistem undang-undang dan pihak berkuasa mempratik sikap "berat-sebelah".

"Kalau mereka 'senyap' sahaja apabila laporan dibuat terhadap pemimpin kerajaan, maka rakyat boleh mempertikaikan kredibiliti pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang Malaysia," katanya lagi.