SPRM: Chitirakala mahu lari ke India
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertahankan tindakannya melarang bekas ketua pegawai eksekutif Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) P Chitirakala berlepas ke luar negara semalam.
Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM berkata, Chitirakala patut menunggu keputusan permohonan suruhanjaya itu kepada mahkamah yang dibuat pada 18 Mei bagi memohon perintah supaya Chithirakala menyerahkan pasport atau dokumen perjalanannya.
Perbicaraan bagi mendengar permohonan itu akan didengar pada 25 Mei 2010.
"Chithirakala walaupun sedia maklum terhadap tarikh perbicaraan untuk mendengar permohonan ini tetap ingin ke luar negara," kata SPRM melalui kenyataan daripada bahagian komunikasi korporatnya.
"SPRM berpendapat Chithirakala perlu menunggu keputusan mahkamah sama ada beliau boleh ke luar negara atau tidak. Untuk makluman, ini adalah prosedur biasa siasatan dan undang-undang yang dibenarkan."
SPRM juga mendakwa mendapat maklumat daripada orang ramai mengatakan Cithirakala akan melarikan diri ke India bagi mengelakkan perbicaraan pertuduhan terhadap beliau.
Sema
lam, hasrat Chitirakala untuk bercuti ke India
tidak kesampaian
apabila pihak Jabatan Imigresan tidak membenarkannya berlepas.
Chitirakala, yang menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah dan menipu menggunakan tiga keping cek MIED bernilai RM4 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11 Mei lalu, sepatutnya berlepas ke India dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines pada pukul 6.50 petang.
Chitirakala antaranya dilaporkan mendakwa, beliau difahamkan seorang pegawai SPRM tidak membenarkannya ke luar negara tanpa memberi sebab.

