M'sia minta rakan dialog Asean bantu isu buruh
Malaysia berharap rakan-rakan dialog Asean akan membantu negara anggota kumpulan serantau itu menyelaras dasar-dasar mengenai pekerjaan dan menggalakkan dialog sosial serta mengukuhkan sistem
pentadbiran buruh mereka.
Menteri Sumber Manusia Datuk Dr. S.Subramaniam berkata bahawa dalam menghadapi saat-saat krisis, langkah memantapkan sistem pentadbiran buruh amat kritikal.
"Saya berpendapat bahawa sistem pentadbiran buruh yang berkesan adalah kunci kepada tadbir urus yang cekap dalam pasaran buruh," katanya pada Mesyuarat Menteri Buruh Asean di Hanoi, ibu negara Vietnam, hari ini. Teks ucapan beliau dikeluarkan di sini.
Subramaniam berkata Malaysia berharap lebih banyak bantuan teknikal dan kewangan disalurkan kepada negara-negara anggota Asean bagi melaksanakan program dan aktiviti yang dicadangkan dalam Pelan Kerja Menteri-menteri Buruh Asean 2010-2015.
Rakan-rakan dialog Asean terdiri Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.
Subramaniam juga berkata rantau Asean turut merasai kesan daripada krisis kewangan yang melanda Amerika Syarikat tahun lepas, dengan penutupan kilang-kilang, pengurangan pelaburan dan peningkatan kadar pengangguran.
Katanya walaupun tempoh paling buruk kemerosotan ekonomi itu telah berlalu dan kini terdapat tanda pemulihan dalam beberapa sektor ekonomi, Malaysia masih meneruskan usahanya bagi mewujudkan keadaan ekonomi yang sentiasa kukuh dan bertahan.
"Tumpuan kerajaan (Malaysia) ialah menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya, khususnya mereka yang diberhentikan," kata Subramaniam.
Katanya Malaysia telah mengambil langkah bagi meningkatkan inisiatif latihan kemahiran untuk pekerjanya sehingga ke peringkat profesional dan pengurusan.
"Ini bagi menjamin bahawa kemahiran ini relevan dengan suasana ekonomi di masa depan kerana Malaysia perlu bergerak maju sebagai negara berpendapatan tinggi seperti yang disasarkan dalam Model Baru Ekonomi," kata Subramaniam.
- Bernama

