Kerajaan sudah merujuk kes Ahmed Ibrahim Bilal kepada Jabatan Peguam Negara (AG) untuk melihat daripada segi perundangan terhadap permintaan Amerika Syarikat supaya lelaki itu diserahkan kepada negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata kerajaan akan menjalankan siasatan sendiri untuk melihat sama ada tuduhan ke atas Ahmed Ibrahim berasas atau tidak, sebelum mengambil sebarang tindakan.

Ibrahim, yang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), adalah antara enam orang yang dikehendaki oleh Amerika berhubung dakwaan bersubahat melancarkan perang ke atas Amerika dan memberikan sokongan kepada rangkaian al-Qaeda.

"Kita ada cara tertentu tangani masalah. Sebab itu perkara ini telah dirujuk kepada AG kerana kita tidak ada peraturan ekstradisi dengan US," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Ketua-Ketua Audit Negara Komanwel ke-18 di sini hari ini.

"Kalau kita nak serah orang itu pada Amerika kita kena tahu orang itu bersalah atau tidak. Apa hak Amerika suruh kita serah kepada mereka. Semua ini kita kena telitilah. Kita buat selalu ikut undang-undang," katanya.

Pendatang tanpa izin

Menurut laporan akhbar the Malay Mail hari ini, Ibrahim telah menyembunyikan diri selepas tersiarnya berita mengenai dirinya yang sedang diburu oleh pihak berkuasa Amerika.

Menurut akhbar itu lagi, polis Malaysia sedang menunggu maklumat terperinci mengenai Ibrahim daripada Biro Siasatan Persekutuan Amerika (FBI) dan Pasukan Bersama Anti-Pengganas Amerika.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Abdullah Ahmad Badawi berkata, Ibrahim akan dihantar balik Ibrahim selepas pasportnya ditarik balik oleh kerajaan Amerika dan Jabatan Imigresen kini menguruskan apa yang diperlu dilakukan

"Buat masa ini, dia tidak ada pasport. Jadi, itu bermakna, dia jadi pendatang tanpa izin. (Oleh itu) kita terpaksa hantar dia balik (ke Amerika)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Sedunia Pertubuhan Perancangan dan Perumahan Kawasan Timur (EAROPH) hari ini.

Pegawai kanan kerajaan Amerika dilaporkan sebagai berkata Ibrahim yang tiba di negara ini Januari lalu dikehendaki berhubung dakwaan bersubahat melancarkan perang terhadap Amerika dan memberikan sokongan kepada rangkaian Al-Qaeda.

Ahmad sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang Sunnah al-Quran di Fakulti Islam dan Sains Kemanusian di UIA sejak awal tahun ini, dan dijangka tamat pada 2005.

Perang jihad

Jumaat lalu, Ibrahim telah disenaraikan oleh pihak berkuasa Amerika bersama empat orang lagi yang didakwa bersubahat dengan kumpulan al-Qaeda dan Taliban, untuk melancarkan perang jihad terhadap negara itu.

Yang lainnya ialah Jeffrey Leon Battle, Patrice Lumumba Ford, Muhamad Ibrahim (saudara Ibrahim), Habis Abdullah Al Saoub dan October Martinique Lewis (bekas isteri Battle).

Battle, Ford, Lewis dan Muhammad telah berjaya diberkas oleh pihak berkuasa Amerika di Portland, Oregon, Detroit dan Michigan. Manakala Ibrahim dan Abdullah masih bebas.

Mereka menghadapi empat pertuduhan: bersubahat melancarkan serangan ke atas Amerika; bersubahat memberi sokongan kepada kumpulan pengganas asing; bersubahat menyediakan perkhidmatan kepada al-Qaeda dan Taliban; dan memiliki senjata api.

Ahmad dan Battle, Ford, Muhammad dan Abdullah dikatakan telah mengikuti latihan menggunakan rifel penggempur SKS buatan Cina, senapang patah jenis Remington dan pistol spara-automatik, September tahun lalu di Washougal, Washington. Battle juga tersenarai dalam pasukan simpanan Amerika untuk mengikuti latihan dalam taktik ketenteraan dan persenjataan.

Menurut laporan itu lagi, pada 17 Oktober tahun lalu, Battle dan Abdullah berlepas dari lapangan terbang antarabangsa Portland menuju ke Afghanistan.

Ford, Muhammad dan Ahmad turut menyertai mereka tiga hari kemudiannya. Bagaimanapun, mereka gagal menyusup masuk ke Afghanistan untuk menyertai pasukan al-Qaeda dan Taliban untuk menentang tentera Amerika.

Laporan itu juga menyebut, Lewis telah membuat beberapa kiriman wang kepada Battle di China dan Bangladesh di antara bulan Oktober 2001 dan Januari tahun ini, untuk membiayai perbelanjaannya untuk menyusup masuk ke Afghanistan.

Ford juga dilaporkan telah mengirim wang kepada Abdullah di Cina di antara bulan November 2001 dan Januari lalu, untuk tujuan yang sama. Manakala Ford, Muhammad dan Battle masing-masing berlepas pulang ke Amerika pada 19 November dan 24 Disember tahun lalu, dan 5 Februari tahun ini.