Ahli Puteri Umno boleh mengundi secara undi sulit sekiranya mana-mana bahagian pergerakan itu memilih kaedah itu untuk mengundi calon Ketua Puteri Umno.
Menurut laporan Bernama, Setiausaha Kerja Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor, ahli Puteri Umno boleh berbuat demikian jika itu yang mereka mahukan.
Beliau menegaskan demikian ketika ditanya sama ada Puteri Umno boleh menggunakan kaedah undi rahsia untuk pencalonan Ketua Puteri sebagai alternatif kepada pengundian secara mengangkat tangan.
Ketika bercakap pada sidang media untuk mengumumkan Konvensyen Barisan Nasional Wilayah Persekutuan pada 14 Oktober ini, Tengku Adnan berkata beliau yakin ahli Puteri Umno dapat menilai calon yang sesuai untuk jawatan kerusi nombor satu pergerakan itu.
Ketua Penaja Azalina Othman Said setakat ini memperolehi 109 pencalonan bagi pemilihan pergerakan itu pada 1 November depan, manakala Mastina Hamid, Raihan Suleiman, Mazibah Mohd Zain dan Ummi Hafilda Ali yang turut menawarkan diri masih belum menerima sebarang pencalonan.
Jendela politik
Mengenai Konvensyen BN itu, Tengku Adnan, yang juga Pengerusi Barisan Nasional Wilayah Persekutuan, berkata konvensyen itu mencerminkan komitmen dan perpaduan rakan komponen yang menjadi teras kepada kestabilan politik.
"Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah jendela politik kepada negeri-negeri lain dan apa sahaja gerak laku politik yang tercetus di ibu kota akan menjadi ikutan kepada negeri lain," katanya.
Bertemakan "BN Perkasa Rakyat Terbela", konvensyen sehari itu dijangka dihadiri 7,000 ahli Umno, MCA, MIC, Gerakan dan PPP.
Majlis itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, selaku Pengerusi BN.
Tengku Adnan berkata setiap parti komponen akan membentangkan satu isu khusus - Umno akan membawa isu masyarakat kota, MCA isu ekonomi, MIC kemiskinan, Gerakan pendidikan dan PPP perpaduan.
