Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas setiausaha parlimen Kementerian Alam Sekitar, Datuk Sazmi Miah menggesa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) supaya turut menyiasat Jabatan Geosains dan Mineral berhubung kes melibatkan pemberian lesen balak di Kelantan.

Katanya, jabatan itu juga terlibat secara tidak langsung dalam kegiatan pembalakan di negeri itu kerana ada pembalakan tersebut dijalankan dengan alasan untuk melakukan aktiviti perlombongan, termasuk emas.

"(Jabatan geosains) terbabit juga sebab mereka terlibat dalam pemberian lesen untuk perlombongan emas.

"Sebenarnya untuk ambil balak, tapi (kerajaan negeri) lakukan seolah-olah untuk buat perlombongan emas, padahal tak ada emas pun," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Beliau diminta mengulas laporan mengenai siasatan SPRM ke atas Pejabat Perhutanan Kelantan semalam.

Sazmi berkata, Pejabat Perhutanan Kelantan yang mula disiasat SPRM semalam, sememangnya terlibat dalam kelulusan kawasan pembalakan tersebut membabitkan kawasan seluas lebih 20,000 hektar.

"Untuk keluarkan kayu balak, sememangnya kena ada kelulusan jabatan hutan," katanya lagi.

Tambahnya, selain perlombongan, ada juga kawasan balak tersebut ditebang dengan alasan untuk mengeluarkan hasil batu granit dan juga untuk tanaman sayur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS