Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS Perlis dahului edar risalah di premis judi

Dewan Pemuda PAS (DPP) Perlis akan mula menempatkan anggotanya di premis judi mulai esok manakala negeri-negeri lain akan berbuat demikian secepat mungkin untuk mengedarkan risalah membantah judi bola sepak kepada para pengunjungnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini , ketua DPP Perlis Yaacob Abu berkata pihaknya telah menerima arahan tersebut dari DPP pusat dan akan dilaksanakan mulai esok.

Bagaimanapun, katanya,  tumpuan sepenuhnya masih diberikan kepada demontrasi yang akan diadakan Jumaat ini.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh DPP pusat semalam, dan ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, mereka akan ditugaskan mengedar risalah itu sehinggalah lesen judi bola dibatalkan.

Anggota DPP negeri diminta melakukan tugas itu secara bergilir-gilir mengikut sifnya.

Pemuda PAS juga,  menjemput semua insan yang prihatin yang anti-judi, termasuk bukan Islam, untuk membantu mengedarkan risalah tersebut.

Sementara itu, ketua DPP Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata mesyuarat mengenai perkara itu akan diadakan petang ini.

Buat masa ini, katanya, keutamaan perlu diberikan kepada rancangan mengadakan demonstrasi membantah judi bola Jumaat ini.

"Kemudian diikuti pula dengan arahan yang diutarakan oleh DPP pusat," tambahnya.

Di Pulau Pinang pula, pengedaran risalah tersebut kan dilaksanakan selepas selesai perhimpunan aman, kata ketua DPP negeri, Yusni Mat Piah.

Manakala ketua DPP Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata pihaknya masih menunggu maklumat mengenai usaha pengedaran risalah di premis judi itu.

Mesyuarat akan diadakan sebaik sahaja pihaknya menerima arahan rasmi mengenai arahan tersebut.

Di Pahang pula, DPP negeri Suhaimi Saad berkata beliau baru mendapat arahan tersebut dan akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkannya malam ini.

Pada hari ini, katanya, mereka akan menghantar memorandum bantahan kepada mufti negeri, mendesak pihak mufti dan istana mengambil kira bantahan rakyat berhubung judi bola tersebut.

ADS