Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah mengenalpasti sepuluh buah masjid di Selangor yang didakwanya telah dijadikan 'medan politik' untuk mengembangkan pengaruh parti pembangkang di kalangan penduduk tempatan.

Menurut jurucakap Jais hari ini, siasatan pihaknya mendapat ahli jawatankuasa (AJK) masjid-masjid terbabit bukan sahaja mengundang penceramah yang pro-pembangkang, malah mereka juga tidak membaca teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jais.

"Pihak pengurusan masjid-masjid terbabit telah menggunakan tempat ibadat sebagai medan politik mereka....ini perlu ditangani kerana masjid adalah tempat untuk semua orang beribadat, bukan kepada penyokong parti politik tertentu sahaja," tambahnya.

Katanya, semua masjid di Selangor tertakluk kepada pengawasan Jais, dan oleh itu, pihaknya perlu membetulkan keadaan tersebut bagi mengembalikan fungsi masjid sebagai tempat ibadat semua umat Islam tanpa mengira ideologi politik mereka.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian besar masjid berkenaan telah berhenti berbuat demikian selepas pihak Jais menghantar surat peringatan kepada mereka, supaya membaca teks khutbah yang disediakan oleh Jais dan memastikan mereka yang bertauliah sahaja dijemput memberi ceramah.

"Kita cuma menghadapi masalah dengan satu dua masjid sahaja, termasuk Masjid Mujahiddeen Damansara Utama, yang masih tidak mematuhi arahan daripada Jais. Kerana itulah, kita kini dalam proses melantik jawatankuasa baru, termasuk imam dan bilal bagi masjid berkenaan," tegasnya.

Selain Masjid Mujahiddeen, malaysiakini difahamkan masjid-masjid terbabit ialah Masjid al-Rahman, Damansara Utama, Masjid al-Hidayah (Taman Subang), Masjid Aminah al-Mukhairi (Kelana Jaya), Masjid Kampung Tunku dan Masjid Ridhwani (Petaling Jaya Utara).

Sebelum ini, ahli jawatankuasa lama Masjid Mujahidden mendakwa bahawa Jais membuat perlantikan imam dan bilal baru desakan kepimpinan Umno bahagian Petaling Jaya Utara.

Padam lampu

Mereka mendakwa, surat mengenainya, yang ditandatangani oleh ketua Umno bahagian berkenaan ketika itu, Datuk Ghazi Ramli, telah dihantar kepada Pengarah Jais, Mansor Ramli, yang juga setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais)

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Salim Datuk Sujak, berkata walaupun surat itu dibuat semasa kepimpinan Datuk Ghazi, Umno secara umumnya memang memandang berat perbuatan menjadi masjid sebagai medan parti politik.

"Bagaimanapun, saya selaku ketua Umno bahagian, tidak pernah menekankan supaya orang Umno yang dilantik menjadi imam dan sebagainya. Apa yang kita minta ialah supaya jangan mempolitikkan masjid kerana ia adalah tempat ibadat orang Islam," tegasnya.

Namun begitu, katanya, pihak Umno Petaling Jaya Utara bersedia untuk berbincang lanjut mengenai perkara itu bagi mencari penyelesaian yang terbaik demi kebaikan umat Islam di kawasan terbabit.

"Setakat ini tidak ada yang datang berjumpa dengan saya. Saya memang bersikap terbuka mengenai masalah ini dan bersedia berbincang dengan pihak terbabit," tegasnya lagi.

Ditanya mengenai pengalamannya sebelum ini, Salim berkata, beliau sendiri pernah melihat sendiri kejadian seorang penceramah yang dihantar oleh Jais, tidak dibenarkan berceramah di sebuah masjid dalam kawasan Petaling Jaya Utara.

"Pada masa itu, Datuk Ghazi, saya dan rakan-rakan bersembahyang di masjid berkenaan. Apabila penceramah itu memulakan ceramahnya, beberapa anak muda, telah memadam lampu.

"Apabila beliau meneruskan juga ceramahnya, mereka telah bertindak menariknya keluar dari masjid berkenaan," tegas Salim.

Katanya, kejadian sedemikian perlu dihindari supaya ianya tidak berulang pada masa depan supaya tidak menjejaskan nama baik umat Islam di mata masyarakat.