Kerajaan hari ini mengecam pendirian Amerika Syarikat yang membenarkan Israel memiliki senjata pemusnah besar-besaran sedangkan pada masa yang sama mencuba sedaya upaya untuk menyerang Iraq atas alasan memiliki senjata jenis yang sama.

Menteri Luar, Datuk Syed Hamid Albar, ketika menggulung perbahasan di bawah Rang Undang-Undang Perbekalan 2003 bagi kementeriannya berkata, adalah tidak adil sama sekali bagi negara kuasa besar itu membenarkan Israel memiliki senjata jenis itu.

Katanya, senjata nuklear dan biologi itu boleh digunakan untuk menyerang negara-negara lain di rantau itu, yang rata-rata terdiri dari negara Islam.

"Oleh itu, Malaysia akan berusaha membincangkan perkara ini dengan kuasa-kuasa lain dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," kata Syed Hamid.

Menurutnya, Malaysia tidak sama sekali menyokong pendirian Amerika yang membuat keputusan sebelah pihak untuk menyerang Iraq walaupun tidak mendapat restu PBB.

"Iraq adalah merupakan sebuah negara yang berdaulat," kata Syed Hamid.

Rakan dagang

Beliau berkata Malaysia menyokong agar pemeriksaan senjata dapat dijalankan di Iraq untuk memasti sama ada negara itu benar-benar memiliki senjata berbahaya tersebut.

"Kita mahu mereka pergi ke Iraq dan periksa sendiri, dan Iraq juga bersetuju mengenai perkara ini," katanya.

Sehubungan itu, Syed Hamid berkata Malaysia akan turut membincangkan perkara itu dengan negara anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi mendapat keputusan bersepadu mengenainya.

Menjawab soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad (PAS-Kuala Terengganu), Syed Hamid berkata walaupun Amerika merupakan rakan dagang dan ketenteraan Malaysia, Syed Hamid berkata, ia tidak bermakna negara ini perlu menggadai maruah dan kedaulatannya.

Mengenai tindakan Amerika mengenakan sekatan dagangan terhadap Iraq yang menyebab berjuta kanak-kanak menjadi mangsa, beliau berkata, Malaysia menganggap tindakan tersebut zalim kerana ianya tidak mempunyai tempoh tamatnya.

Mengenai layanan yang diberikan oleh pegawai keselamatan di pintu keluar masuk negara itu, beliau menerangkan pemeriksaan ketat bukan sahaja dikenakan kepada pemimpin Malaysia, malahan kepada menteri luar Australia juga.

Kawalan ketat

"Selepas peristiwa Sept 11, Amerika terpaksa mengenepikan protokol dan memberikan kuasa mutlak kepada pegawai keselamatannya," kata Syed Hamid.

Beliau berkata dunia perlu memahami perasaan rakyat Amerika yang kini dilanda ketakutan serangan pengganas setelah melalui pengalaman pahit serangan Sept 11, 2001.

Ketakutan itu, katanya, telah mendorong negara kuasa besar untuk mengetat kawalan keselamatan, walaupun ianya mungkin tidak disukai.

Baru-baru ini, seorang ahli parlimen mendedahkan mengenai "layanan keras" terhadap Timbalan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi yang diminta membuka kasut dan talipinggang ketika tiba di pintu masuk Amerika.

Menyentuh usaha Malaysia dalam memperjuangkan keadilan antarabangsa, Syed Hamid berkata, pemimpin negara mendapat pengiktirafan yang luas kerana kemampuannya berbuat demikian.

Sambil menolak dakwaan pembangkang bahawa usaha Malaysia hanyalah sekadar "retorik", beliau berkata, suara Malaysia mendapat sambutan di peringkat antarabangsa dan sekurang-kurangnya telah "melambatkan" tindakan Amerka yang bercadang menyerang Iraq.