Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menggesa rakyat Malaysia mengambil pendekatan sederhana daripada segi sudut pandangan mereka mengenai kepelbagaian agama di negara ini dan menjadikan Malaysia sebagai negara contoh bagi toleransi agama dan keharmonian kaum.

"Saya menggesa rakyat Malaysia bergandingan dengan saya untuk menjadikan Malaysia sebagai model bagi toleransi antara agama dan keharmonian antara kaum kepada dunia," katanya semasa berucap pada majlis sambutan dan rumah terbuka Hari Wesak di tokong Buddhist Maha Vihara di Brickfields di Kuala Lumpur hari ini.

Najib adalah Perdana Menteri ketiga melawat tokong Buddha berusia 115 tahun itu selepas Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; wakil dari agama lain, orang kenamaan asing dan ribuan penganut Buddha.

Najib berkata, rakyat Malaysia perlu mengelak daripada terbabit sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menganggu-gugat negara dan menghalang visinya untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

"Kita berdepan banyak cabaran pada hari ini termasuk pembasmian kemiskinan serta mentransformasi Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi dalam tempoh 10 tahun.

"Dan bagi kita untuk berdepan dengan cabaran ini, kita perlu mengiktiraf prinsip asas demokrasi iaitu hak perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab," katanya.

Najib berkata, rakyat Malaysia perlu menggunakan kebijaksanaan untuk memahami hak semua warganegara dalam mengamalkan agama mereka dengan bebas dan tanpa gangguan.

Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia juga perlu menggunakan kebijaksanaan dan belas kasihan untuk membantu satu sama lain tanpa mengira etnik dan latar belakang.

Memberikan contoh ajaran Buddha yang antara lain menekankan belas kasihan, kasih sayang, toleransi dan puas hati, beliau berkata nilai-nilai itu juga meliputi amanah, yang dapat membantu Malaysia melakukan transformasi bukan sahaja daripada segi pembangunan fizikal tetapi juga pembinaan kenegaraan bagi memastikan negara terus maju.

"Kita perlu menerima hakikat bahawa untuk memastikan kita semua gembira, ada kalanya kita terpaksa mengorbankan sesuatu untuk kebaikan bersama.

"Jika negara kita mengutamakan rasa puas hati, tidak ada sebab kenapa kita tidak boleh mencapai kejayaan besar sebagai sebuah negara," katanya.

- Bernama