Firma guaman yang mewakili ahli jawatankuasa (AJK) lama dan penduduk kariah Masjid al-Mujahiddeen, Damansara Utama (MMDU) akan memfailkan saman pemula terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) minggu depan bagi membatalkan perlantikan AJK baru masjid berkenaan.

Jais melantik AJK baru itu, termasuk bagi jawatan bilal, imam dan siak, bagi menggantikan AJK sedia ada, sebagai sebahagian daripada proses pengambilalihan pentadbiran masjid berkenaan.

Melalui saman permula itu, AJK lama MMDU akan mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa tindakan Jais melantik AJK baru adalah tidak sah.

Pada masa yang sama mereka akan mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa AJK lama adalah sah dan perlantikan mereka masih berkuatkuasa.

Menurut jurucakap firma guaman terbabit, Hanipa Maidin, pihaknya juga akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang Jais dan AJK lantikannya daripada mencampuri urusan pentadbiran MMDU.

Jumaat lalu, firma guaman terbabit telah menghantar surat kepada Jais, berhubung perlantikan itu, dan memberinya tempoh tujuh hari untuk menjawabnya.

Bermotif politik

Bagaimanapun, sehingga ini, firma guaman terbabit ataupun anak guamnya tidak menerima sebarang jawapan daripada pihak Jais.

Kejadian perebutan imam berlaku di MMDU sejak awal tahun ini berikutan tindakan Jais melantik imam dan bilal baru bagi menguruskan masjid berkenaan.

Bagaimanapun, perlantikan itu tidak dipersetujui AJK sedia ada kerana mendakwa ianya bermotif politik dan tidak persetujui oleh penduduk Islam di situ.

Berikutan itu, jawatankuasa berkenaan telah mengambil keputusan untuk melantik firma guaman Hanipa Maidin, untuk menyelesaikan perkara itu di mahkamah.

AJK terbabit sebelum ini memberitahu malaysiakini bahawa pihaknya percaya Jais bertindak melantik imam dan bilal baru atas desakan Umno kerana kebanyakan ceramah yang dianjurkan di situ lebih cenderung kepada pembangkang.

Sementara itu, sembahyang Jumaat berlangsung seperti biasa di MMDU hari ini dengan dikendalikan oleh imam dan bilal yang dilantik oleh AJK lama.

Difahamkan, imam dan bilal yang dilantik oleh Jais turut hadir tetapi mereka turut bersembahyang Jumaat bersama jemaah yang hadir. Beberapa pegawai penguatkuasa Jais juga kelihatan berada di masjid berkenaan.