Elly Zalilah Yusof, ahli Puteri Umno yang didapati bersalah oleh lembaga disiplin parti itu kerana mengadakan sidang akhbar yang "berunsur fitnah" terhadap Azalina Othman Said, meminta supaya bidangkuasa lembaga itu diperluaskan untuk membolehkannya menyiasat aduan salahlaku terhadap ketua penaja pergerakan itu.

Katanya, perkara ini akan dibangkitkan dalam sepucuk surat yang bakal dikirimkannya kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad tidak lama lagi.

Elly yang merupakan bekas "orang kuat" Azalina di peringkat awal penubuhan pergerakan itu tahun lalu, tidak puas hati dengan kenyataan pengerusi lembaga disiplin itu, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen bahawa lembaga itu tidak mempunyai bidangkuasa untuk menyiasat aduannya mengenai salahlaku Azalina.

Bagaimanapun, lembaga itu mendapati, Elly, 26, bersalah melanggar Perkara 3 Tataetika Ahli Umno iaitu menggunakan kekerasan dan mengugut Azalina dengan tujuan mendorong dan memaksa orang tidak mengundi Azalina pada pemilihan pergerakan itu, serta melanggar Perkara 4.1 tataetika itu dengan menggunakan media untuk membuat fitnah, mencela dan mengeji Azalina

Sejajar dengan keputusan tersebut, Elly telah digantung hak-haknya untuk "dipilih, memilih dan dilantik" untuk memegang sebarang jawatan di bawah fasal 6.2.2. Perlembagaan Umno selama tiga tahun bermula dari 2 Okt 2002 hingga 1 Okt 2005.

Sebelum itu, Tengku Rithauddeen berkata Lembaga Disiplin Umno tidak membincangkan dakwaan Elly terhadap salahlaku Azalina kerana ia di luar bidang kuasa lembaga itu.

Kata beliau, lembaga itu hanya bertanggungjawab membicarakan kes-kes yang meliputi peraturan seperti yang termaktub dalam Tataetika Ahli Umno sedangkan aduan Elly terhadap berbentuk kes pecah amanah yang dalam bidangkuasa polis.

Tidak puashati

Mengulas lanjut mengenainya, Elly berkata: "Saya menerima hukuman itu dengan hati terbuka, tetapi ia tidak bermakna saya berpuas hati dengan keputusan tersebut kerana lembaga disiplin tidak membuat sebarang keputusan berhubung laporan saya mengenai salahlaku Azalina ( gambar ) atas alasan perkara tersebut di luar bidang kuasanya.

Ahli Puteri Umno itu, yang mengakui pernah ditugaskan untuk "mengintip" pemimpin pergerakan itu yang berkecenderungan menentang Azalina berkata, beliau hairan kenapa Tengku Rithauddeen berkata kes Azalina di luar bidang kuasa lembaga disiplin tersebut.

"Kalau begitu, siapakah yang akan menyiasat segala tuduhan terhadap Azalina," katanya ketika dihubungi malaysiakini .

Menurut Elly lagi, adalah malang sekiranya tuduhan terhadap Azalina tidak terjawab kerana pihak polis juga masih belum membuat sebarang siasatan dan beliau sendiri masih belum dipanggil untuk memberi penjelasan.

"Nampaknya saya terpaksa meminta perdana menteri campurtangan dalam hal ini, jika tidak ianya akan tergantung begitu sahaja, sedangkan saya (pengadu) telah dijatuhkan hukuman," katanya.

Selain itu, Elly juga mempertikaikan mengapakah surat mengenai keputusan siasatan terhadap kesnya, bertarikh 7 Okt, iaitu dua hari sebelum mesyuarat penuh lembaga disiplin yang diadakan pada 9 Okt lalu.

Katanya, ini menggambarkan seolah-olah mesyuarat penuh lembaga disiplin hanya sekadar mengesahkan keputusan yang sudah diputuskan sebelum itu.

Selain itu, Elly juga mempersoalkan kenapa keputusan tersebut tidak dirujuk terlebih dahulu kepada mesyuarat Majlis Tertinggi sepertimana yang telah diberitahu kepadanya ketika dipanggil mengadap lembaga disiplin pada 2 Okt lalu.