18 mati dalam tahanan polis tahun ini
Seramai 34 orang mati ketika dalam tahanan polis sejak tahun 2000, termasuk 18 orang dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung berkata, daripada jumlah itu, enam orang mati pada tahun 2000, sepuluh orang pada tahun lalu, dan 18 lagi sejak Januari hingga September tahun ini.
"Setakat ini, tahanan-tahanan tersebut mati bukanlah disebabkan oleh proses siasatan dalam lokap," kata Chor semasa menjawab soalan lisan dari Nasharuddin Mat Isa (PAS-Yan).
Nasharuddin, dalam soalan tambahannya, menyifatkan jumlah kematian tersebut sebagai "terlalu besar" dan mempersoalkan sama ada tahanan dalam lokap mati disebabkan seksaan yang keterlaluan seperti diletakkan di atas ais.
Bagaimanapun, Chor menafikan bahawa pihak berkuasa menggunakan kaedah seperti itu bagi mendapatkan maklumat.
Timbalan menteri itu menambah, sekiranya berlaku kematian dalam tahanan, pihak polis akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk menjalankan siasatan terperinci.

Katanya, hasil siasatan jawatankuasa tersebut kemudiannya akan dibawa untuk siasatan mahkamah.
Lari dari tahanan
Mengikut susunan hari ini, soalan mengenai perkara itu diletakkan sebagai soalan ke 23 bagi pertanyaan lisan yang kebiasaannya, tidak sempat dibangkitkan kerana kesuntukan masa.
Ini kerana sessi soal jawab di Dewan Rakyat adalah sekadar satu jam setiap hari mulai jam 10 pagi.
Oleh kerana ahli Parlimen yang telah disenaraikan untuk mengemukakan soalan, ramai yang tidak hadir, maka soalan-soalan kebelakang, termasuk soalan di atas sempat dikemukakan untuk jawapan kerajaan.
Ketika ditemui wartawan di luar Dewan Rakyat, Chor berkata kebanyakan tahanan yang mati semasa siasatan polis adalah mereka yang cuba melarikan diri dari tahanan.
"Ada di antara mereka yang cuba melarikan diri dan terjatuh," Chor mengulas pendek.
Beliau menambah kementeriannya tidak mempunyai sebarang maklumat yang mengatakan berlakunya kematian akibat proses siasatan polis.
Mengenai kawalan keselamatan di Malaysia selepas berlakunya peristiwa pengeboman pusat hiburan di Bali, Indonesia yang mengakibat 187 maut, Chor berkata tahap keselamatan di negara ini adalah di peringkat tertinggi.
Oleh itu, beliau meyakinkan rakyat negara ini dan pelancong asing yakin bahawa Malaysia adalah selamat untuk didiami dan dikunjungi.