Kerajaan akan mengkaji semula bayaran yang dikenakan untuk pembakaran mayat di krematorium milik kerajaan di Wilayah Persekutuan kerana kadar yang dikenakan sekarang amat rendah berbanding yang dikenakan oleh pengendali swasta, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan.

m saravanan Bercakap kepada pemberita selepas melawat krematorium Putrajaya hari ini, beliau berkata setiap mayat yang dibakar di pusat pembakaran milik kerajaan hanya dikenakan bayaran RM100 berbanding RM500 oleh swasta.

"Dengan jumlah RM100 itu, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM400 untuk setiap mayat, dan bayaran itu pula adalah bayaran mengikut kadar 20 atau 30 tahun lalu.

"Sudah tiba masanya kita menimbang dan mengkaji semula bayaran ini bagi memastikan ia mampu menampung kos pengurusan dan penyenggaraan pusat pembakaran mayat milik kerajaan ini, mungkin sekitar RM200 hingga RM300," katanya.

Saravanan juga berkata kementerian akan menimbang kemungkinan melonggarkan peraturan peruntukan lot bagi kawasan perkuburan untuk menyediakan kawasan khas untuk orang kenamaan beragama Hindu disemadikan di Putrajaya.

- Bernama