Dosa KKN dan keluhan si anak menteri
Saya terasa terpanggil untuk berkongsi kisah yang pada mulanya memang nampak tidak serius. Tetapi apabila direnung sejenak sebenarnya boleh dilihat sebagai episod simbolik yang menandakan 'krisis' yang lebih mendalam dalam masyarakat kita.
Beberapa tahun yang lalu, ketika pertama kali menjejakkan kaki di kota London untuk memulakan pengajian di peringkat ijazah pertama, ketika saya masih belum sesuai dengan suasana luar negara, ketika rindu pada kampung halaman masih kuat, saya telah melawat Dewan Malaysia (Malaysia Hall), tempat bersejarah yang menjadi kiblat bagi warga Malaysia di sini.
Bertemu saya dengan seorang gadis yang amat peramah, pada ketika itu dia masih menuntut di kolej peringkat A-Level. Persahabatan kami sangat erat hingga kini. Gadis itu khabarnya anak seorang bekas menteri yang masih memegang tampuk kekuasaan dalam Umno masa ini.
Namun begitu, minatnya terhadap isu semasa dan politik tanahair memang tidak ada. Kami tidak pernah berbincang tentang hal itu, kerana baginya politik itu isu 'sensitif' (dia menganggap saya terlalu berskap kritis terhadap Umno). Entah bagaimana, ketika saya bertemu dengannya baru-baru ini, kami mula bercakap tentang rancangannya pada masa depan.
Gadis ini akan tamat pengajian tahun hadapan dan bercita-cita untuk bekerja di sini. Dia amat risau jika peluangnya untuk mendapat pekerjaan di kota London ini agak malap memandangkan ada ramalan yang menyebutkan ekonomi Britain akan merudum tidak lama lagi.
Lalu saya pun bertanya: "Kenapa tidak pulang saja ke Malaysia?". Tambahan pula, gadis ini merupakan pelajar cemerlang di sebuah universiti ulung di London. Pasti ada peluang yang terbuka untuknya di tanahair. Terkejut juga saya mendengar jawabannya.
Katanya, jika dia pulang ke Malaysia, arah kerjayanya akan ditentukan oleh si bekas menteri tersebut. "Saya ingin berdikari, ingin bekerja tanpa perlu menggunakan pengaruh politik orang tua saya," ujarnya. Rupa-rupanya bekas menteri ini sudah menjanjikan anaknya bahawa dia akan mendapatkan jawatan untuknya di sebuah firma yang dipunyai teman politiknya.
"Saya tahu ramai lagi yang lain akan berbuat begitu. Saya ingin berdikari," tegasnya lagi.
Jika tidak kerana ingin menjaga hati teman yang sensitif itu, sudah pasti saya akan memprotes kenyataannya yang terakhir itu. Minta maaf, tetapi orang 'ramai' yang kamu maksudkan itu sebenarnya bukanlah 'ramai' dalam ertikata yang sebenarnya.
Mereka cuma segelintir anak muda yang sekelompok dengan kamu, yang mempunyai hubungan istimewa dengan golongan atasan politik Umno.
'Dilema' yang mewah
Lebih ramai lagi yang akan pulang ke negara tanpa mengetahui arah mana kerjaya mereka. Lebih ramai yang akan pulang dengan ijazah yang cemerlang tetapi tidak mempunyai 'kenalan' cemerlang seperti kamu. Mereka akan memulakan kerjaya mereka dari bawah, akan cuba berjaya atas usaha sendiri.
Mereka akan melihat bagaimana orang seperti kamu, yang hanya perlu meminta orang tua membuat satu panggilan telefon kepada teman mereka, memintas mereka dalam hirarki kerjaya. Kami yang belajar di sini semua sedia maklum, gejala ini norma dalam sistem di Malaysia.
Setiap tahun, kami berusaha untuk mendapatkan internship atau latihan di firma-firma besar di tanahair tetapi gagal. Setiap tahun juga, mereka yang berjaya mengaku menggunakan 'pintu belakang' untuk mendapatkan tawaran tersebut.
Malah kini ada nama jolokan bagi orang seperti itu - FaMa connections (hubungan FaMa, kependekan perkataan ' father and mother '). Golongan ini amat beruntung kerana mereka yang paling banyak menerima manfaat daripada konsep 'hak istimewa'.
Saya kurang pasti sama ada ingin bersimpati untuk kawan saya itu, atau untuk berasa marah. Yang pasti, dia amat bertuah kerana punyai 'dilema' yang begitu mewah. Bagi saya, 'dilema' itu sebenarnya mempunyai implikasi yang lebih besar kepada masyarakat kita, dan khususnya untuk proses perubahan sosial yang kita idamkan.
Di sini seorang gadis muda, amat bijak, berpendidikan tinggi dan mempunyai kesedaran yang cukup bahawa apa yang sedang berlaku itu 'salah' dari segi moral. Dia sedar perkara itu, walaupun gejala yang agak berleluasa, bukanlah satu perkara yang harus dibangga-banggakan.
Walau begitu, dilema moralnya itu tidak cukup untuk sekurang-kurangnya membuatkan dia cuba 'menawan' masalah itu dari dalam. Sudah pastilah saya tidak mengharap dia untuk pulang dan memulakan gerakan protes.
Namun, jika dia sedar perkara itu salah, dia tidak perlu membiarkan dirinya 'terperangkap' dalam permainan kotor itu. Kemewahan yang dimilikinya itu bukan satu hak yang dijanjikan akan berlaku asal saja dia pulang ke Malaysia.
Kita mudah menganggap generasi muda zaman sekarang sebagai enjin yang akan menjana perubahan pada masa hadapan. Namun begitu, pemerhatian saya terhadap golongan ini, sekurang-kurangnya di kota London, menunjukkan senario yang amat merisaukan.
Memang tidak dinafikan terdapat segelintir yang memang peka terhadap isu-isu semasa dan mempunyai semangat dan komitmen yang tinggi. Namun rata-rata anak Malaysia di sini boleh dibahagikan kepada dua golongan - yang tidak ambil tahu (apathetic) dan yang tidak ambil kisah.
Rombak sistem pendidikan
Golongan yang pertama tidak ingin ambil tahu masalah dan cabaran yang kita hadapi di tanahair, tidak berminat dengan isu-isu tanahair dan rata-rata mengambil sikap tidak mahu tahu. Golongan ini langsung tidak ada keinginan untuk 'berbakti' kepada negara.
Paling tidak, apa yang mereka pentingkan ialah kejayaan diri sendiri and kekayaan material. Mereka buta terhadap apa sahaja isu yang timbul, walau secara tidak langsung melibatkan diri, masyarakat dan tanahair mereka.
Bagi saya, sikap apathetic ini amat merisaukan kerana ia menandakan kegagalan sistem pendidikan kita untuk menanamkan sikap peka dan kesedaran yang tinggi terhadap isu-isu negara. Kegagalan kita untuk melahirkan anak-anak muda yang boleh - dengan yakin diri - membantu negara menghadapi cabaran masa depan yang bakal kita tempuhi.
Sikap apathetic ini cuma boleh ditawarkan dengan cara merombak semula sistem pendidikan kita yang tidak mementingkan nilai-nilai tersebut.
Namun, apa yang lebih merisaukan saya ialah sikap tidak kisah yang amat berleluasa di kalangan anak muda generasi baru ini. Kawan saya tadi termasuk golongan ini. Dia sedar dan peka akan masalah yang sedang mengancam negara, sedar akan kesalahan moral itu, namun dia tidak kisah, tidak peduli. Dan tidak ingin sekurang-kurangnya menghadapi isu itu, dia malah ingin lari.
Jika begini sikap yang diambil sebahagian besar anak muda sekarang, agenda perubahan yang kita idam-idamkan itu amat sukar dicapai.
Sikap tidak kisah ini bukan sahaja berleluasa di kalangan mereka yang bernasib baik seperti kawan saya, malah segolongan besar pelajar Malaysia mempunyai pendirian yang sama. Walaupun tidak menerima 'layanan' istimewa kerana hubungan politik, mereka tidak ingin melibatkan diri dalam menangani masalah ini. Walau kadangkala mereka terpaksa menghadapi ketidakadilan yang nyata daripada sistem ini, mereka tetap tidak kisah.
Bagaimana caranya menyedarkan anak-anak muda ini? Bukan mudah 'menyedarkan' orang yang sebenarnya sudah sedar. Bukan mudah mengajar mereka hidup berprinsip dalam masyarakat yang tidak mementingkan prinsip. Mereka tahu apa yang silap, apa yang salah, dan mereka halalkan semua itu kerana 'tidak kisah'.
Mungkin kita belum sedar kos jangka panjang yang harus kita bayar untuk dosa-dosa korupsi, nepotisme dan kronisme ini.
Mungkin kita belum sedar apa habuan jangka panjang untuk memperjuangkan satu sistem yang telus, bersih dan amanah.
Jika ini sebenarnya yang berlaku, kita masih boleh dimaafkan. Yang lebih menakutkan saya ialah, kita mungkin sudah pun sedar kos-kos dan habuan-habuan itu semua, dan yang menarik kita ke belakang sebenarnya hanyalah sikap 'tidak kisah' kita sahaja.
KARIENA ABDULLAH kini sedang menuntut di London


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.