Pusat Kawalan  Doping Universiti Sains Malaysia (USM) masih  beroperasi seperti biasa walaupun akreditasinya digantung oleh Agensi Anti Doping Dunia (Wada) baru-baru ini.

    

Naib Canselor USM Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata walaupun ujian doping tidak dapat dilaksanakan ketika ini, pusat itu masih menjalankan ujian dan analisis sampel lain termasuk makanan dan alam  sekitar.

"Walaupun ada masalah dengan doping, pusat  ini tidak ditutup, malah aktiviti lain seperti analisis sampel  makanan dan alam sekitar masih berjalan seperti biasa,"  katanya kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini.

Rabu lepas, Wada mengumumkan bahawa akreditasi pusat itu digantung selepas ia gagal mematuhi  amalan Standard Antarabangsa Untuk Makmal (ISL). Bagaimanapun pusat itu boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 21  hari bermula dari tarikh penggantungan itu.

    

PKD USM kini mempunyai lebih 1,000 pelanggan dari 26 negara.

    

Dzulkifli berkata penggantungan itu berpunca daripada kekeliruan berhubung analisis satu sampel atlet luar oleh pusat itu yang tidak sama dengan analisis oleh sebuah makmal di Jerman.

"Sebenarnya ada sedikit kekeliruan berhubung kaedah analisis yang dilaksanakan oleh pusat ini. Kaedah  yang dilaksanakan tidak dikemaskini," katanya.

    

Dzulkifli berkata makmal di USM itu sebenarnya tidak mendapat maklumat mengenai kaedah terkini yang perlu dilaksanakan dalam analisis itu.

"Kita tidak mendapat maklumat tentang  kaedah baru itu, jadi kita sememangnya tidak tahu  tentang perkara itu," katanya.

    

Beliau berkata pusat itu akan menyediakan laporan lengkap kepada Wada dan mengemukakan rayuan hari ini.

- Bernama