Lebih 4,000 wanita kaum India khususnya ibu tunggal menerima manfaat menerusi program khas Kementerian Sumber Manusia sejak tahun lepas bagi meningkatkan status sosial ekonomi mereka, kata menteri berkenaan Datuk Dr S Subramaniam.

Katanya kementerian berharap kerajaan akan menyediakan manfaat dengan melanjutkan program seperti itu di bawah Rancangan Malaysia ke-10 berikutan kejayaan membantu meningkatkan pendapatan isi rumah lebih 35,000 peserta.

"Program khas itu dapat dilaksanakan hasil daripada peruntukan RM300 juta di bawah pakej rangsangan ekononmi tahun lepas bagi golongan yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan dan membasmi kemiskinan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menyampaikan sijil menamatkan kursus kepada kira-kira 100 peserta yang mengikuti latihan kemahiran selama enam bulan yang diselaraskan oleh kementerian dan Pertubuhan Hindu Sangam di Petaling Jaya malam tadi.

Peserta tersebut mengikuti latihan kemahiran seperti jahitan, membuat kraftangan, andaman dan kemahiran usahawan.

Kira-kira 21,000 peserta yang telah mengikuti program ini telah berdikari atau mendapat kerja dalam bidang berkaitan, katanya.

- Bernama