Kejayaan Azalina Othman Said memperolehi pencalonan daripada kesemua 165 bahagian Puteri Umno untuk jawatan ketua pergerakan itu mencerminkan kepercayaan ahli akar umbi terhadap kepimpinannya, kata naib presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Oleh itu, katanya, semua pihak dalam pergerakan itu, terutama mereka yang sebelum ini menawar diri untuk dicalon menentang Azalina, seharusnya kini menerima hakikat tersebut dan kembali untuk bersama-sama menguatkan lagi kedudukan Puteri Umno.

Azalina mendapat pencalonan daripada kesemua 165 bahagian Puteri Umno apabila tiga bahagian terakhir pergerakan itu Kapar, Kuala Selangor (kedua-duanya di Selangor) dan bahagian Merudu di Sabah yang bermesyuarat semalam, turut mencalonkan beliau bagi jawatan tersebut.

Sebelum ini, empat ahli Puteri Umno turut menawarkan diri untuk dicalon bertanding jawatan ketua pergerakan itu. Mereka ialah Mastina Abdul Hamid, Raihan Sulaiman, Mazibah Mohd Zin dan Ummi Hafilda Ali.

Bagaimanapun, mereka gagal memperolehi sebarang pencalonan untuk bertanding jawatan berkenaan. Mereka masing-masing memerlukan dua pencalonan untuk layak bertanding.

Mengulas lanjut mengenainya, Muhd Taib berkata, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah semua pihak menerima keputusan ahli-ahli yang memilih Azalina bagi memimpin mereka.

Hormati kehendak ahli

"Puteri Umno kini perlu menumpukan masa dan tenaga mereka untuk menarik lebih ramai lagi wanita muda untuk menyertainya supaya dapat turut sama membantu membangunkan negara," katanya kepada malaysiakini .

Ditanya mengenai tuduhan penyelewengan dan salahlaku terhadap Azalina, beliau berkata: "Tuduhan itu tidak akan menjejaskan Azalina kerana jelas beliau mendapat sokongan padu dari semua bahagian untuk memimpin Puteri Umno."

Muhd Taib berkata, memandangkan perkara itu telah dilaporkan kepada polis, maka biarlah pihak polis yang menyiasatnya.

"Apa yang penting sekarang ialah semua pihak mesti menghormati kehendak ahli akar umbi itu dan kembali bersama Azalina untuk memperkuatkan lagi perjuangan pergerakan itu," tegas Muhd Taib.

Sebelum ini, seorang ahli Puteri Umno Elly Zalilah telah membuat aduan mengenai salahlaku Azalina semasa memimpin jawatankuasa penaja pergerakan itu.

Dalam laporannya kepada polis dan Jawatankuasa Pengurusan Umno, Elly mendakwa wujudnya tiga akaun bagi Puteri Umno, kehilangan wang kutipan untuk membantu rakyat Afghanistan, wujudnya dua keahlian dan pendaftaran empat van milik pergerakan itu atas nama mereka yang tiada kaitan dengannya.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Disiplin Umno baru-baru ini menyatakan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat dakwaan penyelewengan yang dibuat oleh Elly Zalilah terhadap Azalina kerana ianya sudah menjadi kes polis.