Hampir 200 warga asing yang  ditahan di Depot Tahanan Imigresen Ajil, Hulu Terengganu, cuba merusuh  dan meloloskan diri dari pusat tahanan itu dalam kejadian bermula pukul 9.30 malam tadi.

    

Tindakan agresif dipercayai dua dari kumpulan rakyat  Vietnam dan Myanmar yang bergaduh sesama sendiri itu  bagaimanapun dapat dihalang pihak berkuasa.

    

Pengarah Imigresen Terengganu, Mahasan Mustapa berkata kejadian dipercayai bermula daripada  pergaduhan dua pendatang asing tanpa izin Vietnam yang baru dimasukkan ke pusat itu.

    

"Pergaduhan bagaimanapun merebak kepada hampir 200  tahanan di blok lain. Mereka cuba memecahkan pintu dan ada  daripadanya mengambil peluang untuk melarikan diri dari depot berkenaan namun cubaan mereka gagal.

    

"Dalam kejadian itu, satu pintu blok dipecahkan  bagaimanapun mereka tidak dapat melepasi dua lagi pintu dan gril  di situ," katanya kepada pemberita hari ini.   

Katanya keadaan dapat dikawal sepenuhnya kira-kira pukul  12 malam tadi dengan bantuan pihak polis.

    

Katanya kes itu dirujuk kepada Kedutaan Vietnam untuk  tindakan lanjut.

    

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kira-kira lapan pendatang asing Vietnam cedera  ringan dalam kejadian itu, dipercayai daripada tindakan ganas  mereka memecahkan pintu itu.

    

Dalam kejadian itu sebuah jentera bomba dari Balai Bomba  dan Penyelamat Kuala Berang turut dihantar ke depot berkenaan  sebagai persediaan menghadapi kemungkinan penghuni cuba membakar  pusat itu.

    

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Pauzan Ahmad berkata panggilan diterima kira-kira pukul 10.15 malam dan  anggotanya hanya pulang pukul 3 pagi setelah keadaan benar-benar  terkawal.

    

Sementara itu, seorang saksi, Aminuddin Deraman,50, yang  berniaga buah berhampiran depot tahanan itu berkata beliau  mendengar bunyi bising kira-kira pukul 9 malam.

    

"Bunyinya kuat dengan hiruk pikuk dari arah dalamnya,  tidak lama kemudian saya nampak polis datang dan hampir tengah malam keadaan kembali tenang," katanya.

- Bernama