Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan ekstremis dan kuasa undang-undang sepenuhnya akan digunakan terhadap mereka yang cuba mengganas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bercakap dalam satu dialog tertutup dengan wartawan asing dari Asean dan Eropah di Putrajaya hari ini, beliau mengingatkan bahawa ekstremis tidak akan mendapat belas kasihan kerajaan Barisan Nasional (BN), sama ada sekarang atau pada masa depan.

"Kita akan tegas," katanya ketika mengulas penangkapan lima lagi anggota KMM termasuk seorang yang dikatakan mempunyai hubungan dengan pergerakan al-Qaeda, semalam.

Sambil menegaskan bahawa rangkaian ekstremis memang membimbangkan, Abdullah berkata pihak berkuasa akan memastikan mereka yang terbabit didakwa.

Beliau yang bersimpati dengan mangsa pengeboman di Bali serta rakyat Indonesia, berkata: "Saya tidak mahu melihat kejadian sedemikian berlaku di mana-mana negara."

Menurut Bernama , dalam dialog selama sejam itu, Abdullah menjawab pelbagai soalan, termasuk hala tuju dasar masa depan negara, hubungannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan keputusan Perdana Menteri untuk bersara.

Katanya, asas kewujudan Malaysia yang sederhana, pelbagai agama, pelbagai budaya serta pelbagai kaum telah dilaksanakan dengan jayanya oleh generasi-generasi pemimpin BN.

Letupan bom

Ketika diberitahu oleh seorang wartawan bahawa sokongan bukan Islam terhadap BN terhakis selepas kerajaan mengumukan tahun lalu bahawa Malaysia adalah negara Islam, Abdullah ketawa dan merujuk kepada penerimaan Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai ahli BN Januari tahun ini.

Beliau berkata PBS, sebuah parti Kristian, telah memohon menyertai BN dan diterima sebagai anggota yang sama tarafnya dengan yang lain.

"Jika kami anti agama lain, PBS tidak akan menyertai kami," katanya sambil menjelaskan bahawa semua kumpulan etnik dan agama diwakili dalam BN dan semua keputusan dibuat secara persetujuan bersama dengan memastikan tidak ada kumpulan minoriti terpinggir dalam proses perkongsian kuasa.

Sementara itu, Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Kit Siang berkata, polis Malaysia perlu menyertai pasukan penyiasat asing di Indonesia bagi menyiasat kejadian letupan bom di Bali, berikutan laporan akhbar Jakarta Post bahawa seorang rakyat Malaysia turut terbabit dalam kejadian itu.

Akhbar itu memetik sumber tertinggi risikan sebagai berkata bahawa seorang rakyat Malaysia merupakan timbalan ketua kepada kumpulan tujuh orang asing yang merancang pengeboman itu, yang memusnahkan beberapa buah kelab malam di Kuta, iaitu kawasan pelancongan yang sibuk di Bali, dan mengorbankan 180 orang pada Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata prospek ekonomi dan pelancongan Malaysia akan turut terjejas dengan kejadan itu.