Kerajaan dukacita dengan sikap pihak tertentu yang tidak mengambil sebarang tindakan untuk mencegah berlakukan keganasan walaupun mempunyai maklumat awal mengenainya.
Sikap menunggu terlebih dahulu sehingga berlakunya sesuatu kejadian sehingga mencederakan dan mengorbankan banyak nyawa, bukan cara yang sesuai bagi menyelesaikan keganasan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
"Inilah yang mendukacitakan, ada maklumat tetapi tidak gunakan maklumat itu untuk mencegah kejadian itu daripada berlaku," katanya dalam sidang media selepas merasmikan pameran "Islam dan Sains: Kerelevannya Masa Kini" di Pusat Sains Negara di Kuala Lumpur hari ini.
Abdullah, yang juga Menteri Dalam Negeri diminta mengulas laporan bahawa Taiwan dan Australia dikatakan telah mengetahui lebih awal mengenai kemungkinan berlakunya letupan bom di Bali yang membunuh 187 nyawa Sabtu lalu.
Bernama memetik Abdullah sebagai berkata, pendekatan berbentuk pencegahan lebih awal perlu digunakan bagi menangani kejadian seperti itu.
"Jika ada maklumat, gunakanlah maklumat supaya sesuatu tidak berlaku. Ini tunggu berlaku dahulu baru bertindak. Masa itu ramai orang mati dan cedera dan banyak harta musnah baru nak cegah, sekarang baru ada bukti, tunggu orang mati bergelimpangan baru ada bukti, itu bukan cara yang perlu digunakan," katanya.
Menurut Abullah, Malaysia tidak menerima sebarang maklumat daripada mana-mana pihak mengenai kemungkinan letupan seperti itu berlaku di rantau ini.
Amaran baru
"Tak ada, saya tak diberitahu dan polis pun tak kata apa-apa," katanya.
Semalam Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Marie T Huhtala berkata, Amerika Syarikat telah mengeluarkan amaran kepada semua kerajaan minggu lalu mengenai kemungkinan pengganas menggunakan sasaran "lembut" seperti kelab, restoran, sekolah dan tempat beribadat.
Malah Huhtala sendiri pergi ke Wisma Putra Jumaat lalu untuk memaklumkan amaran baru itu kepada kerajaan Malaysia.
Abdullah juga ditanya mengenai satu laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menyenaraikan Barisan Nasional (BN) sebagai antara kumpulan yang terbabit dalam kegiatan keganasan.
Beliau mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Aseh Che Mat untuk mengkaji bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap isu itu.
Malaysia mengemukakan bantahan kepada PBB berikutan nama BN tercatat dalam laporan pertubuhan itu yang memetik daripada buku "Inside Al Qaeda. Global Network of Terror" karangan Rohan Gunaratna.
Bantahan itu telah dihantar baru-baru ini oleh Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Tan Sri Hasmy Agam.
