Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan semalam menjadi hangat apabila wakil PAS mempertikaikan ucapan wakil Barisan Nasional (BN) yang mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS tidak suka kepada sultan.
Ia berlaku ketika Nozula Mat Diah (BN-Paloh) dalam mukadimah ucapannya menyebut "Sultan Kelantan semasa merasmikan persidangan belanjawan negeri Kelantan 2003 semalam tidak serik-serik menasihatkan kerajaan negeri supaya membuat kebaikan kepada rakyat walaupun wakil-wakil rakyat PAS tak sir (tidak sukakan) kepada raja."
Belumpun Nozula sempat meneruskan ucapannya membahaskan titah ucapan baginda, Wan Othman Wan Yusoff (PAS-Tendong) meminta laluan dan bertanya bilakah masanya Adun PAS menunjukkan sikap tidak sukakan raja.
"Kalau kerana pinda Perlembagaan Negeri Kelantan untuk mengurangkan kuasa sultan dalam pentadbiran tahun lalu, itu perkara biasa. Kerajaan BN juga pernah membuat seperti itu di peringkat pusat," kata Wan Othaman.
Bagaimanapun, apabila Speaker dewan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah meminta Nozula menerusknnya ucapannya, Zulkifli Yaacob (PAS-Guchil) pula bangun dan dengan suara yang lantang, meminta Nozula menarik balik ungkapan mengenai raja itu.
Nozula, dalam keadaan tenang cuba meneruskan ucapannya tetapi sekali lagi terhalang apabila Hassan Mahmood (Pas-Tawang) bangun tetapi dengan nada lembut, meminta juga Nozula menarik balik kata-kata 'wakil rakyat PAS tak sukakan raja itu'.
Kerana permintaan Hassan itu lembut agaknya, Nozula lalu bangun semula untuk meneruskan percakapannya dengan mengemukakan senarai-senarai negatif mengenai Kerajaan Pas Kelantan.
Perjanjian persefahaman
Itupun beliau tidak juga dapat terus membaca senarai itu kerana Ahli Exco Kerajaan Negeri, Takiyuddin Hassan (PAS-Bunut Payung) bangun memberi pandangan tentang Perkara 46 (1) Peraturan DUN Kelantan dan meminta speaker dewan membuat keputusan mengenai ucapan Nozula.
Namun begitu, beberapa Adun PAS, termasuk Abdullah Razak (PAS-Guala Periok) dan Nasruddin Daud (PAS-Meranti) bangun meminta Nozula menyatakan bukti mengenai kelemahan PAS sepertimana dakwaannya.
Suasana tegang itu kemudian menjadi reda sedikit apabila Nozula tidak lagi memberi laluan yang diminta Adun-Adun lain. Kali ini beliau tidak lagi menyebut hal raja, tetapi meneruskan dengan menyebut senarai sembilan perkara negatif mengenai Kerajaan PAS.
Antaranya, beliau berkata selama tiga penggal PAS memerintah Kelantan, parti itu telah berjaya setakat menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) mengenai sesuatu projek tetapi satu pun tidak dilaksanakan, termasuk projek pelabuhan di Kuala Krai dan Pelabuhan Kecil Tumpat.
Beliau juga mendakwa Kerajaan PAS hanya berjaya dalam meletakkan berpuluh-puluh batu asas untuk pelbagai projek pembangunan, tetapi kesemua projek yang dirancangkan itu tidak juga dilaksanakan.
Nozula juga mendakwa PAS "hanya nampak kesalahan orang lain tetapi tidak nampak kesalahan sendiri.Yang mempunyai mata sebelah tidak lain dari al-dajal."
Kenyataan Nozula itu menyebabkan beberapa Adun PAS meminta laluan lagi dan bertanya 'nas' mengenai tuduhan yang dilemparkan itu, tetapi Nozula secara selamba berkata ia tidak perlukan nas kerana 'yang bermata sebelah itu adalah dajal.'
Hanya terdapat dua Adun BN dalam DUN, iaitu Nozula dan Mohamed Saufi Deraman dari Galas.
Yaakub Dasan adalah wakil malaysiakini di Kelantan
