Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tahan 10 anggota JI sejak awal tahun
Diterbitkan:  Jun 14, 2010 4:29 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 10 individu yang merupakan anggota Jemaah Islamiah (JI) sejak awal tahun ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

    

Beliau berkata 10 anggota warga asing itu merupakan saki baki dari kumpulan JI yang terus berusaha untuk menghidupkan kembali perjuangan mereka.

    

"Anggota-anggota terbabit yang mendapat sokongan daripada rakyat tempatan telah ditangkap di merata tempat sejak enam bulan lepas dan telah diusir keluar dari negara ini," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

    

Musa berkata mereka dikatakan cuba merekrut penuntut universiti dan remaja tempatan untuk berjihad di luar negara yang melibatkan 20 hingga 30 penuntut.

"Trend ini amat membimbangkan kerana terbukti anasir-anasir militan kini telah mengubah taktik dan strategi mereka dalam merekrut anggota baru terutamanya untuk tujuan berjihad di luar negara," katanya.

Katanya, JI menarik golongan remaja untuk menyertainya kerana zaman sekarang golongan itu tertarik dengan panggilan untuk berjihad menerusi ceramah-ceramah yang mereka dengar.

    

"Polis akan memantau pelajar-pelajar yang mendengar sebarang ceramah yang membawa kepada pergolakan dan keselamatan negara.

    

"Kita perlu berhati-hati dengan ideologi yang dibawa oleh warga asing untuk mendapatkan sokongan daripada pelajar-pelajar tempatan," katanya.

    

JI ialah merupakan sebuah kumpulan pejuang agama yang berdedikasi untuk mendirikan sebuah negara Islam raya di Nusantara khususnya Indonesia, Singapura, Brunei, Malaysia, Thailand dan Filipina.

    

Sepuluh anggota JI itu adalah kumpulan yang berasingan daripada 10 individu termasuk sembilan warga asing yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) awal tahun ini kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

- Bernama

ADS