Cubaan seludup dadah RM500,000 digagalkan
Polis menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis syabu dan ketamin bernilai hampir setengah juta ringgit dalam tiga rampasan berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir, berkata ketiga-tiga rampasan itu membabitkan dua lelaki warga negara India berusia 40 dan 43 tahun serta seorang lelaki warga negara Iran berumur 30 tahun.
Beliau berkata, dalam rampasan pada 9 Jun lalu di KLIA, polis menahan seorang lelaki warga India berusia 43 tahun ketika sedang menolak troli mengandungi sebuah beg dan kotak berisi pakaian.
"Pemeriksaan ke atas kotak itu menemui 20 paket plastik mengandungi dadah disyaki ketamin seberat 4.75 kg dan bernilai kira-kira RM145,000 yang disorokkan dalam dinding kotak tersebut. Turut dirampas wang tunai RM650 dan sejumlah matawang asing," katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.
Nordin berkata, siasatan mendapati suspek yang bekerja sebagai pemandu teksi di negaranya pernah masuk ke negara ini sebanyak tiga kali dan dadah itu dipercayai untuk dipasarkan semula ke negara lain.
Dalam rampasan pada 11 Jun juga di lapangan terbang sama, beliau berkata polis menahan seorang lelaki warga Iran berumur 30 tahun yang tiba melalui penerbangan dari Dubai.
Katanya, pemeriksaan badan ke atas lelaki tersebut menjumpai gumpalan tisu-tisu mengandungi 21 biji kapsul berisi dadah dipercayai syabu seberat 330 gram yang diselitkan di bahagian kanan dan kiri pinggang seluarnya.
"Turut ditemui pada suspek sejumlah matawang asing. Suspek kemudian dibawa ke Hospital Serdang dan melalui ujian X-ray, sebanyak 64 kapsul berisi syabu seberat 562 gram ditemui di dalam perutnya dan polis mengambil masa tiga hari untuk mengeluarkan dadah tersebut daripada perut suspek," katanya.
Nordin berkata, jumlah rampasan ialah kira-kira RM225,000 dan siasatan mendapati suspek dibayar upah sebanyak USD20 (RM65.45) bagi setiap biji kapsul yang ditelan itu.
Dalam rampasan pada 13 Jun di LCCT pula, polis menahan seorang lelaki warga India berusia 40 tahun yang membawa dua buah beg.
Nordin berkata, pemeriksaan ke atas kedua-dua beg menjumpai satu bungkusan plastik berisi dadah disyaki ketamin seberat 2 kg di bahagian bawah beg pertama dan satu bungkusan plastik berisi dadah jenis sama seberat 1.9 kg di bahagian bawah beg kedua.
Katanya, turut dirampas daripada suspek yang bekerja sebagai buruh di negaranya ialah wang tunai RM786 dan sejumlah matawang asing.
"Nilai rampasan berjumlah kira-kira RM120,000. Suspek yang pertama kali masuk ke Malaysia dijangka balik ke negara asalnya pada 14 Jun lalu," katanya.
Nordin berkata, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
- Bernama

