Tokoh perniagaan terkenal, Tan Sri Ibrahim Mohamed, yang dikenali mesra sebagai "Ibrahim Promet", kembali ke rahmatullah di Pusat Perubatan Prince Court di Kuala Lumpur semalam kerana serangan jantung.

Beliau berusia 68 tahun.

Anak perempuan sulung beliau, Aishaf Falina, 41, berkata bapanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas di Ampang selepas solat Asar.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Ibrahim adalah seorang ahli perniagaan terkenal yang berperanan penting dalam memupuk syarikat-syarikat seperti Uniphoenix Corporation Bhd dan Damansara Realty Bhd.

Beliau adalah Pengerusi Eksekutif Uniphoenix dan Ketua Eksekutif Damansara Realty.

Beliau telah memegang beberapa jawatan termasuk pengerusi dalam beberapa syarikat senaraian awam.

Syarikat-syarikat itu ialah Genting Highland Hotel Bhd (kini dikenali sebagai Genting Bhd, 1976 - 1979), General Ceramics Bhd (kini GCB Corporation Bhd, 1976-1979) dan Promet Bhd (1980-1986).

Beliau pernah menyandang jawatan Pengarah Urusan Idris Hydraulic (M) Bhd (1983-1986) dan Timbalan Pengerusi Koperasi Usaha Bersatu (M) Sdn Bhd yang juga koperasi milik kerajaan (1983-1986) dan Permodalan Bersatu Bhd.

Ibrahim yang menerima latihan sebagai seorang peguam, melibatkan diri dalam bidang guaman dari 1970 hingga 1978 sebelum menceburi perniagaan di dalam dan luar negara.

Sebelum kematiannya, beliau memegang jawatan Pengerusi Eksekutif WRP Asia Pacific Sdn Bhd dan TSI Holdings Sdn Bhd.

- Bernama