Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, permit import (AP) kereta terpakai harus diberikan percuma kepada peniaga kenderaan dengan syarat golongan itu dapat membuktikan mereka benar-benar menjalankan perniagaan automotif.

mahathir ikmal presidential lecture 290410 "Mereka perlu menunjukkan bukti mereka benar-benar menjalankan perniagaan menjual kereta seperti memiliki kedai dan ruang pameran kereta-kereta yang dijual,” katanya ketika diminta mengulas mengenai rungutan sesetengah pihak mengenai caj RM10,000 seunit bagi AP, yang dianggap terlalu tinggi.

Beliau ditemui selepas melancarkan anak syarikat kumpulan Mutiara Motors, M7 Racing Sdn. Bhd. dan merasmikan Pusat Penyelidikan & Pembangunan M7 di Bangunan Mutiara Motors Larkin di Johor Baharu hari ini.

Usaha kerajaan mengadakan skim AP itu adalah bagi membantu golongan bumiputera melibatkan diri dalam industri automotif, namun ada sesetengah pihak yang mendapatnya secara percuma telah menjual pada harga sekitar RM8,000 bagi setiap AP untuk mengaut keuntungan cepat dan tidak menjalankan perniagaan menjual kenderaan, menyebabkan kerajaan terpaksa mengenakan caj ke atas AP, katanya.

Beliau menganggap tindakan menjual AP itu sebagai mensia-siakan peluang yang diberikan oleh kerajaan kepada bumiputera untuk meningkatkan tahap ekonomi mereka dan mereka yang melakukannya harus dikenakan tindakan sewajarnya.

- Bernama