MB Terengganu bantu mangsa kemalangan
Dalam kesibukan menghadiri program sehari bersama rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir hari ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, sempat memberi "khidmat tambahan" dengan membantu mangsa kemalangan di Jalan Manir-Telemong di Kampung Teluk Menara di Kuala Terengganu.
Pegawai Penyelaras DUN Manir, Yusof Awang Hitam, berkata ketika kemalangan pada kira-kira 3 petang itu, Ahmad bersama rombongan termasuk Pegawai Daerah, dalam perjalanan ke Kampung Pulau Bahagia, Manir, untuk program berkenaan.
"Semasa dalam perjalanan ke Pulau Bahagia, kenderaan yang dinaiki Ahmad terhalang oleh kemalangan yang membabitkan dua Proton Persona yang bertembung.
"Beberapa mangsa yang cedera berada di dalam kedua-dua kenderaan yang remuk itu telah diangkat oleh Ahmad. Menteri Besar juga turut mengawal lalu lintas kenderaan yang lalu di situ," katanya.
Yusof berkata, Ahmad telah mengarahkan mangsa yang mengalami kecederaan supaya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menggunakan kenderaan yang dinaikinya.
Sementara itu, pemandu sebuah kereta terbabit, Ismail Sulong, 55, dari Kampung Bukit Mak Kemas, Bukit Payung berkata, beliau bersama isteri, anak dan cucu saudara dalam perjalanan menghantar anak perempuannya ke Kampung Sungai Ular, Nasi Dingin, Hulu Terengganu untuk majlis sambut menantu.
"Saya tidak sempat berbuat apa-apa apabila melihat sebuah kereta yang dipandu laju masuk ke laluan," katanya yang mengalami kecederaan pada bahagian dada.
Beliau berkatam isterinya Mariam Ismail, 49, anak serta cucu saudaranya juga mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan, kini menerima rawatan di HSNZ.
"Saya tidak sangka dalam kesibukan itu, Menteri Besasr sempat membantu kami yang dalam kesusahan. Apatah lagi mengarahkan pegawainya menghantar keluarga saya ke hospital dengan menggunakan kenderaannya," katanya.
- Bernama

