Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kajian selaras skim '1 Care' dengan KWSP
Diterbitkan:  Jun 20, 2010 2:35 PM
Dikemaskini: 6:36 AM

Kementerian Kesihatan sedang mengkaji langkah menyelaras skim pembiayaan kesihatannya "1 Care for 1Malaysia" yang dicadangkan, dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang baru-baru ini membenarkan pengeluaran untuk lebih banyak jenis penyakit kritikal.

    

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata Kementerian Kesihatan sudah mengadakan sesi taklimat dengan KWSP mengenai skim itu dan beberapa rundingan lagi akan diadakan.

 

"Sebaik saja dilaksanakan, usaha KWSP untuk menyediakan pembiayaan bagi perkhidmatan kesihatan juga dijangka akan diselaras dengan dasar 1Care," katanya kepada Bernama.

    

KWSP baru-baru ini mengumumkan bahawa skop pengeluaran diperluaskan bagi penyakit-penyakit kritikal dari 13 ke 36 dan juga rawatan untuk anggota keluarga di bawah umur 16 tahun bagi penyakit lelah yang berat, leukemia dan kecacatan intelektual akibat sakit dan kemalangan.

    

Dr Mohd Ismail berkata tindakan KWSP itu adalah "satu langkah sementara yang berguna" yang memberikan orang ramai lebih banyak pilihan bagi mendapatkan rawatan khususnya di sektor swasta dan bagi meliputi lebih banyak penyakit "catastrophic".  

"Kementerian difahamkan simpanan KWSP dan simpanan perubatan tidak mencukupi bagi menyediakan perlindungan risiko yang diperlukan terhadap kejutan kewangan yang besar yang berhadapan dengan penyakit catastrophic," katanya.  

    

Memandangkan kos penjagaan kesihatan yang meningkat, beliau berkata pihak kementerian sedang mengambil langkah bekerjasama dengan pembekal kesihatan swasta mengkaji bayaran perubatan dalam negara.

    

"Kementerian dan kerajaan kini dalam proses menyediakan satu rancangan komprehensif bagi transformasi sistem kesihatan yang akan menaik taraf sistem penjagaan kesihatan bagi memenuhi keperluan penduduk, sekarang dan pada masa depan ketika Malaysia berusaha untuk menjadi negara berpendapatan tinggi," kata beliau.

    

Beliau berkata "1Care" yang masih di peringkat perbincangan, akan menjadi sistem penjagaan kesihatan bersepadu awam-swasta bermula di peringkat rendah.  

Ia juga akan menangani soal kecekapan penggunaan sumber dan mekanisme bayaran kepada pembekal kesihatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata bulan lepas bahawa Kementerian Kesihatan dan Persatuan Doktor Perubatan Malaysia (MMA) akan menyiapkan mekanisme yang akan menangani isu taburan doktor dan klinik kesihatan di Sabah dan Sarawak.  

    

"Sistem '1Care' dapat menyelesaikan masalah kekurangan doktor di banyak kawasan di samping menambah baik perkhidmatan," katanya pada majlis jamuan malam mesyuarat agung tahunan ke-50 MMA di Melaka pada 28 Mei lepas.

ADS