Pejabat kesihatan daerah di Kedah hendaklah membawa terus kes premis yang membiak nyamuk aedes ke mahkamah dan tidak lagi mengenakan kompaun seperti diamalkan ketika ini, kata Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Marzukhi Md Isa.

dengue malaria mosquito outbreak fogging 290905 Beliau berkata, amalan semasa yang hanya mengenakan kompaun kepada pemilik atau penghuni premis jika premis mereka didapati membiak nyamuk aedes tidak banyak membantu dalam mengurangkan kes demam denggi.

Katanya, apabila kompaun dikenakan, sementara menunggu pihak terbabit membayarnya, ia menyebabkan semakin banyak nyamuk aedes membiak dan ini mengagalkan usaha kerajaan untuk mengatasi masalah denggi.

"Tahun ini Pejabat Kesihatan Kota Setar dah mulakan, tiada lagi kompaun, terus ke mahkamah. Setakat ini, 34 kes telah dibawa ke mahkamah. Jadi saya mahu daerah lain lakukan perkara sama.

"Saya rasa inilah langkah pencegahan yang paling baik. Jika kita dapat menangani masalah pembiakan nyamuk aedes, kita bukan sahaja kurangkan denggi tetapi turut kurangkan masalah Chikungunya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Operasi Kedah Sihat Sejahtera kali ketujuh di Alor Star hari ini.

dengue 120105 exterminators fumigating Katanya, kompaun bagi nyamuk aedes mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 adalah antara RM100 hingga RM500 tetapi jika dibawa ke mahkamah, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman sehingga RM5,000 bagi kesalahan pertama manakala kesalahan berikutnya adalah denda sehingga RM10,000 dan boleh dipenjara.

Beliau berkata, ketika ini masalah denggi semakin meningkat di seluruh negara dengan Kedah sahaja ada 396 kes dan membabitkan dua kematian sehingga kini.

- Bernama