Pelantikan tiga pesuruhjaya cukai disemak semula
Kementerian Kewangan akan meneliti semula pelantikan tiga anggota suruhjaya khas cukai pendapatan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN-Pulai) pada persidangan Dewan Rakyat yang ingin tahu apakah tindakan kementerian terhadap aduan pembayar cukai bahawa mereka dianiaya kerana pelantikan tiga bekas anggota Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam suruhanjaya itu menimbulkan "sikap berat sebelah" dalam keputusan rayuan pembayar cukai.
"Kementerian mengambil berat tentang apa yang dikatakan Yang Berhormat iaitu tiga daripadanya adalah bekas anggota LHDN dan kita akan semak (pelantikan) sekali lagi.
"Seperti yang kita tahu, pembayar cukai juga mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap taksiran berbangkit mengikut Seksyen 99 dan 102 Akta Cukai Pendapatan 1967.”
Lim berkata, pembayar cukai boleh membuat rayuan kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan dalam tempoh 30 hari selepas siasatan selesai dan notis taksiran tambahan dikeluarkan.
"Sesiapa yang tak berpuas hati boleh buat rayuan dengan mengisi borang rayuan kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) melalui LHDN. Bagaimanapun, cukai mesti dibayar terlebih dahulu memandangkan ia adalah hasil kerajaan. Tempoh penyelesaian kes bergantung kepada kes berkenaan," katanya.
Terdahulu, semasa menjawab soalan asal Nur Jazlan, Lim berkata pelantikan anggota suruhanjaya, yang ditubuhkan pada 1968, terdiri daripada individu yang mempunyai pengalaman kehakiman dan perundangan serta dianggotai sekurang-kurangnya tiga orang.
"Pada masa kini PKCP dianggotai oleh lima ahli. Mereka adalah berkecuali walaupun tiga daripada mereka merupakan bekas pegawai kanan (LHDN).
"Mengikut Seksyen 98 Akta Cukai Pendapatan 1967, ia memperuntukkan supaya setiap PKCP dilantik Yang di-Pertuan Agong. Setiap PKCP memegang jawatan bagi satu tempoh dan terma sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Kewangan," katanya.
- Bernama

