Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PCM bukan cabaran bagi BN Sarawak
Diterbitkan:  Jun 26, 2010 1:22 PM
Dikemaskini: 5:26 AM

Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Joseph Mauh Ikeh berkata kewujudan Parti Cinta Malaysia (PCM) tidak akan memberi cabaran besar kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri akan datang.

NONE Beliau berkata PCM tidak akan memberi banyak cabaran kerana penduduk luar bandar kini lebih berilmu, bersikap praktikal dan bijak membuat penilaian dalam bidang politik.

"PCM hanya muncul dalam arena politik negeri sejak Januari tahun ini. Banyak lagi yang perlu dilakukannya dan terpaksa menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkenalkan dirinya kepada rakyat.

"Saya tidak fikir banyak yang boleh dicapainya. Usahanya mungkin sia-sia belaka," kata Mauh kepada Bernama di Kanowit malam semalam.

gabriel adit Baru-baru ini, pengerusi PCM negeri Gabriel Adit Demong ( kanan ) mengumumkan cadangan parti itu untuk meletakkan 10 hingga 15 calon bertanding di kawasan luar bandar dan kawasan majoriti penduduk Dayak pada pilihan raya negeri akan datang.

Mauh juga berkata beliau tidak bimbang dengan cadangan PCM untuk meletakkan calon di kawasannya.

Kata beliau kepimpinan Adit juga merupakan satu lagi faktor yang membuat rakyat menjauhi PCM.

"Beliau telah melompat dari parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) ke Parti Keadilan Rakyat. Kini, dia bersama PCM pula. Dua parti sebelum itu merupakan parti pembangkang yang diketahui oleh penduduk luar bandar sebagai parti yang tidak mampu berkhidmat untuk rakyat," katanya.

NONE Ditanya sama ada Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) akan dipelawa supaya kembali menyertai BN negeri, Mauh berkata parti itu perlu membuktikan keikhlasannya terlebih dulu.

"Ia perlu perkemaskan kembali keadaannya, nyatakan dengan jelas objektif serta matlamat perjuangannya. Lagipun, ada khabar menyatakan bahawa ia akan terus memihak kepada pembangkang," kata beliau.

Mauh juga berkata walaupun BN dijangka terus berkuasa di Sarawak selepas pilihan raya akan datang, parti komponennya perlu bekerja keras.

"Pilihan raya kali ini dijangka sengit. Kami perlu berhati-hati. Pilihan raya kecil Sibu baru-baru ini memberi pengajaran yang baik," kata beliau.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS