Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan supaya SJK (T) Kulai Besar di Kulaijaya yang mengalami kerosakan teruk akibat kebakaran pada Sabtu minggu lalu, dibina segera bagi keselesaan pembelajaran 1,258 murid sekolah itu.

NONE "Kita mahu sekolah baru itu nanti siap dalam masa 12 bulan," katanya semasa pertemuan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut di Kualaijaya hari ini.

Beliau juga mengarahkan Jabatan Kerja Raya mengeluarkan surat setujuterima dengan segera bagi membolehkan pembinaan sekolah dengan kos lebih RM3 juta di tapak seluas 2.19 hektar sumbangan Asiatic Development Berhad, pemaju kawasan Asiatic Indahpura, dapat dimulakan bulan depan.

Pada kejadian kebakaran pada kira-kira 5 petang, Sabtu minggu lalu, sebanyak tujuh bilik darjah dan enam bilik khas di sekolah itu musnah dengan kerugian dianggarkan RM436,902.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran juga memberikan peruntukan RM100,000 bagi pembinaan dua kabin untuk dijadikan bilik darjah sementara bagi digunakan sehingga bangunan baru sekolah itu siap.

    

Beliau yang turut meninjau kesan kebakaran dan berbincang dengan ahli PIBG sekolah itu berkata jumlah bilik darjah di bangunan sekolah baru itu nanti akan ditambah kepada 25 berbanding 18 bilik darjah yang dirancang sebelum ini.

Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, K Sreethren yang ditemui pemberita selepas itu bersyukur permohonan untuk mendapatkan sekolah baru sejak tahun 2007 kini menjadi kenyataan.

"Sebagai ibu bapa, kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang amat peka dengan keperluan pendidikan anak-anak kami," katanya.

Menurutnya, sekolah yang mempunyai 74 guru itu terpaksa mengecilkan bilangan kelas dengan mengadakan dua sesi pembelajaran kerana hanya mempunyai 20 kelas termasuk makmal dan perpustakaan.

Sekolah baru yang mempunyai lebih banyak bilik darjah dan terletak kira-kira 1.5 kilometer dari sekolah asal akan membolehkan diadakan satu sesi pembelajaran, katanya.

Projek pembinaan sekolah baru tersebut yang telah diluluskan sebelum ini tergendala akibat masalah kekurangan peruntukan kewangan.

- Bernama