Polis telah dan akan memanggil beberapa saksi untuk memberi keterangan berhubung dakwaan terhadap Ketua Puteri Umno, Azalina Othman Said mengenai salahlaku seks.

Malaysiakini difahamkan bahawa sebahagian daripada saksi terbabit telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan itu, manakala yang lainnya berbuat demikian hari ini dan esok.

Juga difahamkan bahawa mereka dipanggil memberi keterangan itu di Ibupejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Saksi-saksi tersebut dikatakan terdiri daripada bekas exco Puteri Umno serta mereka yang hampir dengan Azalina di peringkat awal penubuhan jawatankuasa penaja pergerakan itu, yang kini dianggap sebagai "penentang" beliau.

Rabu lalu, seorang ahli Puteri Umno telah membuat laporan polis mengenai perbuatan salahlaku seks Azalina, yang didakwa seorang lesbian.

Bersedia ke mahkamah

Antara lain, ahli terbabit mendakwa dalam laporannya bahawa terdapat pita rakaman perbualan 'kekasih' Azalina dengan beberapa ahli pergerakan itu yang boleh dijadikan bukti kukuh mengenai kecenderungan seks ketua Puteri itu.

Pita rakaman itu dikatakan kini berada dalam tangan seorang pemimpin tinggi Umno.

Ketika dihubungi hari ini, seorang ahli Puteri Umno yang enggan disebut namanya, berkata polis mula memanggil saksi sejak dua hari lalu.

"Saya bersedia untuk memberi apa jua maklumat yang diperlukan oleh pihak polis agar dapat menyelesaikan perkara ini secepat mungkin. Kita tidak mahu Puteri Umno dipimpin oleh seorang yang melakukan perkara yang jijik seperti ini," kata ahli Puteri berkenaan.

Katanya lagi, beliau bersyukur kerana pihak polis telah bertindak dengan cekap dan tanpa berlengah dalam menyiasat dakwaan terhadap Azalina.

"Saya berharap agar pendakwaan akan dibuat selepas ini semoga mahkamah dapat menentukan sama ada Azalina bersalah atau pun tidak. Sekiranya beliau tidak bersalah, kami akan menghormati keputusan tersebut," tambahnya.

Ahli itu juga berkata bahawa beliau dan rakan-rakan lain turut bersedia memberi keterangan di mahkamah sekiranya perlu.

Bukti bersalah

Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, ketika berucap di Perhimpunan Agung Puteri Umno 2002 Jumaat lalu, mengingatkan bahawa "seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan bersalah".

Beliau yang kesal dengan pergeseran di dalam sayap termuda parti itu bagaimanapun menegaskan bahawa Umno tidak sama sekali akan membiarkan "penjenayah" terus berada di dalam parti tanpa menjalani hukuman.

Sebelum ini, beliau menegaskan bahawa Umno berpendirian jelas mengenai kegiatan homoseks dan lesbian, iaitu pemimpin yang terlibat akan diambil tindakan tegas.

Azalina, yang memenangi jawatan Ketua Puteri Umno tanpa bertanding (setelah kesemua pencabarnya gagal mendapat sebarang pencalonan), telah disahkan jawatannya di dalam Jumaat lalu.

Sebelum ini, satu laporan mengenai penyalahgunaan kuasa oleh Azalina telah dibuat oleh bekas pembantunya Elly Zalilah Yusof pada 11 September lalu.

Antara lain, laporan tersebut mendakwa penyalahgunaan kuasa dilakukan melalui pendaftaran empat buah van Puteri Umno, yang didaftarkan atas nama individu yang tidak ada kaitan dengan pergerakan itu.