Tubuh parti baru untuk pulihkan Snap: Dr M

comments     Published     Updated

Parti Kebangsaan Sarawak (Snap), yang dibatalkan pendaftarannya, perlu dipulihkan melalui pembentukan parti baru, kata Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Sehubungan itu, Bernama melaporkan Dr Mahathir sebagai berkata bahawa Barisan Nasional (BN) sedia menimbang kemasukan parti baru itu sekiranya ada permohonan untuk berbuat demikian.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan model baru kereta nasional Proton Waja 1.8 dan Proton Arena 1.5 di Putrajaya pagi ini. Beliau yang juga pengerusi BN berkata, memandangkan ketika ini Snap tidak ada dalam BN, maka penubuhan parti baru itu tidak sepatutnya ditentang.

Apabila ditanya sama ada BN bersedia menerima kemungkinan dua parti baru ditubuhkan oleh bekas pemimpin Snap, beliau berkata:"Kita perlu menilainya nanti."

Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran Snap Selasa lalu berikutan kegagalan pemimpin yang bertelagah menyelesaikan masalah kepimpinan parti itu sejak April tahun ini.

Tindakan mahkamah

Snap ditubuhkan pada 1961 dan adalah antara empat anggota BN Sarawak selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).

Ia mempunyai empat ahli Parlimen termasuk Timbalan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Dr Tiki Lafe dan enam ahli dewan undangan negeri (Adun) Sarawak.

BN Sarawak yang bermesyuarat semalam membuat keputusan membenarkan ahlli Parlimen dan Adun dari Snap menyertai sementara tiga parti komponen yang lain ketika menunggu keputusan rayuan atau kelulusan penubuhan parti baru.

Satu kumpulan bekas pemimpin Snap diketuai Datuk William Mawan anak Ikom, yang juga Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, sudahpun mengemukakan permohonan kepada ROS untuk menubuhkan parti baru - Parti Demokratik Maju Sarawak (SPDP).

Dua hari lalu, Presiden Snap Datuk Amar James Wong menyatakan beliau sedang menimbang sama ada akan merayu kepada Menteri Dalam Negeri atau merujuk kepada mahkamah mengenai keputusan ROS membatalkan pendaftaran parti itu.



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In