Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pembangunan hartanah di Kampung Baru perlu dijalankan berdasarkan cadangan awal pemilik tanah yang diputuskan ketika perjumpaan pertama pada 23 Februari lalu.

Pengerusi Biro Peniaga Persatuan Kebajikan Anak-anak Melayu Kampung Baru (PAKAM) Samsudin Sadikin berkata, beliau mengemukakan cadangan tersebut bersama 17 wakil tokoh-tokoh anak Kampung Baru.

Katanya, cadangan tersebut telah dikemukakan oleh pemilik tanah dalam pertemuan pertama dengan kementerian wilayah persekutuan di Putrajaya dan ianya telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

kampung baru 070904 klcc Antara tokoh anak Kampung Baru yang hadir dalam perjumpaan tersebut ialah pengerusi Kumpulan Ambank Tan Sri Azman Hashim, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, yang dipertua Persatuan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) Tan Sri Wan Mahmood Pawanteh dan pengerusi Persatuan Anak-Anak Kampung Baru (PAKAM) Datuk Matshah Safuan yang juga ketua eksekutif Safuan Group.

Mengulas lanjut, Samsudin berkata: "Tiga cadangan telah dirumuskan oleh tuan tanah, iaitu geran tanah Kampung Baru dipinda daripada pertanian kepada komersial dan pegangan bebas.

'Syarat ini merupakan syarat nyata dan mempunyai sekatan kerana tanah di Kampung Baru yang diinsiatif oleh MAS (Malay Agriculture Settlement) tidak boleh dijual kepada orang lain dan hanya boleh dijual kepada orang Melayu sahaja.

"Yang kedua pula ialah pembangunan yang dijalankan tidak berada di bawah kelolaan bandaraya kerana kami mahukan satu badan yang bebas dan tidak terikat dengan apa-apa dan ia mesti dibentuk melalui kelulusan parlimen.

"Dan yang terakhir pula, kerajaan perlu meluluskan 'blueprint' pembangunan kampung baru dan menunjukkan rajah pembangunan yang hendak dibangunkan sepenuhnya perlu komersial kerana Kampung Baru merupakan kawasan yang paling padat penduduknya di Kuala Lumpur.

"Jadi bangunan yang dibangunkan tidak boleh melebihi 20 tingkat,” kata Samsudin ketika ditemui Malaysiakini semalam.

Sebelum itu, telah timbul kekeliruan apabila kerajaan mencadangkan membuat pembangunan hartanah di Kampung Baru berdasarkan nisbah 60:40 antara bumiputera dan bukan bumiputera.

Menurut Samsudian, tanah seluas 2,265 ekar itu adalah milik MAS dan ianya mempunyai sekatan. Dan apabila kerajaan mengumumkan akan menjual tanah sebanyak 40 peratus kepada bukan bumiputera, ianya medapat bantahan.

Ekoran bantahan tersebut, tambahnya, cadangan berkenaan telah dimansuhkan.

Sementara itu, Samsudin berkata, antara cadangan kerajaan bagi pembangunan hartanah di Kampung Baru ialah dengan membina sebuah pusat komersial.

Beliau berkata, cadangan untuk membina sebuah pusat komersial telah ditunjukkan kepada pemilik tanah dan ianya dipersetujui.

"Seperti yang dicadangkan oleh pihak kerajaan, mereka akan membina sebuah pusat komersial kerana tanah di Kampung Baru merupakan tanah yang komersial.

"(Bagaimanapun) sebagai warisan, beberapa buah rumah telah dikenalpasti dan ianya akan dikekalkan," katanya.  

Ditanya mengenai pembangunan di Kampung Baru, Shamsudin berkata, beliau mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Tabung Haji, Perbadanan Nasional Berhad (PNB) dan Petronas untuk menerajui pembangunan di situ.

ADS