Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan perlu menunjukkan kesungguhannya jika mahu memajukan Kampung Baru supaya penduduk akan percaya, kata seorang penduduk, Samsuri Mukisan.

Katanya, beliau kurang yakin sama ada pembangunan itu akan dijalankan atau sebaliknya, kerana tiada apa-apa kemajuan mengenainya sejak dahulu lagi.

“Sudah berapa perdana menteri - dari (Tun Dr) Mahathir (Mohamad), (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi), (Datuk Seri) Najib (Razak) dan nanti (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) pula jadi perdana menteri - tapi tiada apa yang  berlaku,” katanya.

kampung baru weekend market 260508 03 “Kalau betul nak ambil (tanah) letak duit (ganjaran), baru orang nak percaya,” jelas Samsuri, 50.

Beliau juga menyarankan agar syarikat berkaitan kerajaan seperti Lembaga Urusan dan Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  menerajui pembangunan Kampung Baru.

Bagaimanapun, beliau menegaskan peratus penduduk Kampung Baru perlu seratus peratus terdiri daripada bangsa Melayu.

"Kalau kerajaan nak ambil tanah ambillah tapi (perlu) dikekalkan penduduk Kampung Baru, jangan pula ambil tanah kita, lepas itu tendang kita ke Putrajaya" katanya.

Sementara itu, Rosmarina Yazid, 38, berkata, beliau turut mempertahankan supaya tanah di Kampung Baru kekal dimilik sepenuhnya oleh Melayu.

"Setuju atau tidak, mahal atau tidak (harga tanah), tidak mahu tanah ini dijual kepada orang lain (bangsa asing)," katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya mengenai pembangunan di Kampung Baru, Rosmarina menyambut baik cadangan kerajaan tersebut sekiranya dilaksanakan.

"Kalau boleh, biarlah kerajaan yang buat (pembangunan). Senang nak lihat tanah itu di mana kalau kerajaan negeri (pembangkang), susah nak tahu apa yang berlaku pada tanah itu," katanya.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dilaporkan berkata tiada seorang pun pemilik tanah di situ yang akan dipinggirkan daripada proses pembangunan.

Malah, katanya, mereka akan diberi peluang untuk menjual atau menukarkannya dalam bentuk saham atau pemilikan.

Kerajaan juga, katanya, akan memastikan setiap pemilik tanah mendapat pulangan masing-masing apabila tanah mereka diserahkan untuk tujuan pembangunan.

Katanya, jika pemilik tanah tidak bersetuju dengan nisbah yang dicadangkan itu, kerajaan bersedia berunding hingga satu persetujuan dicapai yang akan menguntungkan kedua belah pihak.

ADS