Jenazah Allahyarham Tun Omar Ong YoKe Lin dikebumikan pada kira-kira 6.15 petang ini di Makam Pahlawan dengan penuh penghormatan negara.

Terdahulu, jenazah Allahyarham yang dibalut dengan Jalur Gemilang dibawa dari kediamannya di Persiaran Duta ke Masjid Negara dan ditempatkan di Dewan Syarahan Utama pada pukul 3 petang bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir.

Jenazah Allahyarham kemudian diusung perlahan-lahan oleh anggota tentera dari ketiga-tiga cabang Laut, Udara dan Darat ke Dewan Solat Utama sejurus selepas solat Asar untuk upacara solat jenazah.

Solat jenazah itu diimamkan oleh wakil imam besar Masjid Negara Ehsan Mohd Yusni.

Turut sama menunaikan solat jenazah ialah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi serta beberapa orang bekas menteri kabinet.

Setelah selesai, jenazah diusung perlahan-lahan ke Makam Pahlawan untuk upacara pengkebumian.

Turut menyaksikan upacara pengkebumian ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Abdullah serta isteri Allahyarham Toh Puan Aishah serta anak bongsunya Mohamad Taufik.

- Bernama