Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tak perlu percaya Raja Petra, kata Najib
Diterbitkan:  Jul 4, 2010 6:25 PM
Dikemaskini: Jul 5, 2010 2:01 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Raja Petra Kamaruddin yang kini melarikan diri ke London.

    

Perdana Menteri berkata rakyat juga kini tidak perlu lagi menerima bulat-bulat apa saja dakwaan yang dibuat pengendali blog berkenaan.

"Kalau Raja Petra ditaja pembangkang, bererti apa yang didakwa adalah berbaur politik...jadi kita mesti mengkajinya dan jangan terima bulat-bulat apa yang didakwa menerusi blognya,"  katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pekan  hari ini.

    

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semalam, bahawa kerajaan mempunyai bukti bahawa Raja Petra dibiayai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Najib yang juga ketua bahagian Pekan berkata rakyat tidak perlu percaya bulat-bulat terhadap  pelbagai tuduhan yang dibuat Raja Petra dalam laman blognya, Malaysia Today yang dikatakan mendapat pembiayaan PKR.

Sebaliknya, perdana menteri berkata, rakyat perlu mengkaji setiap dakwaan berbaur politik yang ditulis Raja Petra itu.

    

Mengulas mengenai pelantikan dua hakim syarie wanita pertama negara, Suraya Ramli dan Rafidah Abdul Razak, perdana menteri berkata ia membuktikan bahawa kedudukan wanita di negara ini sama taraf dengan kaum lelaki.

"Malah dalam Islam pun tidak menyekat kemaraan dan kedudukan serta status wanita dalam Islam sentiasa terpelihara," katanya.

    

Buat julung kalinya negara mempunyai hakim syarie wanita selepas mendapat perkenan Yang  di-pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin yang melantik mereka Mei lepas, dengan masing-masing ditempatkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

- B ernama

ADS