Polis buru lelaki samun rumah exco Pahang
Polis sedang memburu seorang penjenayah yang berjaya melarikan diri selepas empat rakannya ditembak mati selepas memecah masuk kediaman seorang exco kerajaan negeri Pahang di Jalan Teluk Sisek di Kuantan, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada kira-kira 3 pagi itu, mereka memecah masuk kediaman Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang Datuk Wan Adnan Wan Mamat untuk melakukan samun.
Menurut polis, penyamun berkenaan mengumpil pintu sebelah tepi rumah dua tingkat itu.
Ketua Polis Pahang Datuk Robiah Abdul Ghani berkata Wan Adnan bersama enam anggota keluarganya dan dua pembantu rumah tidak cedera.
"Datuk Wan Adnan dan keluarganya ketika itu berada di tingkat atas rumah dan bertindak menghubungi polis," kata Robiah kepada pemberita di Kuantan hari ini.
Beliau berkata ketika tiba di tempat kejadian, polis melihat kelima-lima lelaki terbabit bergegas keluar dari rumah berkenaan.
"Suspek cuba menerpa dengan parang, dan polis terpaksa melepaskan tembakan menyebabkan empat suspek mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi melarikan diri," katanya.
Robiah berkata semua lelaki terbabit yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun itu ditembak di kawasan berhampiran rumah exco berkenaan. Bagaimanapun identiti mereka belum dikenalpasti.
"Suspek yang melarikan diri itu dipercayai mengalami kecederaan ketika melarikan diri dan bukannya akibat ditembak. Dia memakai baju berwarna merah," katanya.
Polis menemui sebilah parang, satu alat pemotong, sebilah pisau pemotong daging dan penyungkil tayar.
"Suspek juga dipercayai menggunakan tong gas untuk memecahkan pintu. Berdasarkan modus operandi yang sama dengan beberapa kes samun sebelum ini, polis percaya kumpulan itu juga terbabit dalam kejadian samun lain," katanya.
Beliau berkata polis kini melancarkan gerakan bagi memburu lelaki yang melarikan diri itu.
"Kami meminta semua klinik atau pengamal perubatan melaporkan kepada polis jika didatangi lelaki berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun yang mahu mendapat rawatan kecederaan," katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati peluru senjata api kepunyaan Wan Adnan dilapor hilang. Bagaimanapun jumlah peluru yang hilang belum dipastikan.
- Bernama

