Lelaki yang terlibat melanggar seorang kanak-kanak lelaki di hadapan rumahnya di Saujana Puchong, Sabtu lepas adalah anggota polis bantuan yang ditugaskan di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar berkata anggota polis bantuan yang berumur 23 tahun itu baru ditugaskan di bawah unit Anjing Pengesan (K9) agensi itu enam bulan lalu.
"Polis bantuan tak sama dengan polis biasa PDRM macam kita...walaupun anggota itu dilatih oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi dia bertugas di bawah agensi masing-masing," katanya pada sidang media di USJ Subang Jaya di Petaling Jaya hari ini.
Zainal menjelaskan dakwaan ibu kanak-kanak itu Nor Saliha Mining, 25, yang mendakwa anaknya, Danial Gabrial Abdullah, 5, dilanggar anggota polis.
Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, Gabrial yang sedang bermain di luar rumahnya, dirempuh sebuah van yang melalui jalan itu mengakibatkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan di kepala, badan dan kaki.
Pemandu van berkenaan dikatakan melarikan diri sejurus selepas kejadian sebelum tampil membuat laporan polis dua jam kemudian di Balai Polis Bukit Puchong.
Zainal berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan manakala van itu dihantar ke Jabatan Kimia dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.
- Bernama
