Kerajaan disarankan supaya mengambil langkah yang lebih lembut dalam mengendalikan masalah sekolah agama rakyat (SAR) yang didakwa mengajar pelajarnya membenci pemimpin-pemimpin tertentu, bagi mengelak sebarang kesan negatif terhadap pembelajaran para pelajarnya.

Ketika membuat saranan itu, fellow di Institut Kefahaman Islam (IKIM), Ustaz Mohamad El-Muhammady berpendapat kerajaan patut mengelak dari mengambil langkah yang drastik dengan menarik balik bantuan kewangan secara total kepada SAR.

"Mungkin pihak kerajaan boleh memanggil pihak pentadbir SAR atau guru-gurunya yang telah dikenalpasti dan menasihati mereka, Jika mereka masih berdegil barulah langkan drastik itu diambil," katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan kerajaan akan menghentikan bantuan kewangan perkapita kepada SAR selepas mendapati ada antara sekolah terbabit telah dipergunakan untuk tujuan politik.

Dr Mahathir yang juga presiden Umno berkata beliau diberitahu tentang pelajar SAR yang telah meminta ibubapa mereka untuk menurunkan gambar seorang pemimpin yang dikatakan sebagai "Firaun".

Bantuan penuh

Apabila ditanya tentang kesahihan dakwaan terhadap SAR itu, Ustaz Muhammad berkata, berdasarkan pengalamannya bersama pelajar menegah SAR, beliau dapat merasakan perasaan "kurang senang" mereka terhadap segelintir pemimpin negara.

"Mereka tidaklah secara terang-terang mengatakan perasan itu tetapi kita boleh baca daripada gerak-geri dan kata-kata yang diucapkan," katanya kepada malaysiakini.

Sementara itu, ketua biro agama Pemuda Umno, Ustaz Shamsul Najmi Shamsudin pula berkata masalah itu tidak akan timbul jika SAR mendapat bantuan penuh dari kerajaan.

"Inilah yang diperjuangkan oleh Pemuda Umno supaya SAR dapat bantuan penuh, bukan ditarik balik bantuannya. Tetapi hasrat ini telah di salahtafsirkan sebagai untuk mengambilalih pentadbiran sekolah -sekolah terbabit," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa maksud "bantuan penuh" itu bukan bermakna mengambil alih pentadbiran sekolah agama rakyat secara total, tetapi hanya mengambilalih pendidikan supaya pelajarnya dapat belajar dengan lebih teratur dan selesa.

Hadiri kursus

Dengan bantuan penuh, katanya, para guru di SAR boleh diserapkan sebagai kakitangan kerajaan dan berhak menghadiri kursus pendidikan profesional dan sekaligus akan menyelesaikan masalah guru berpolitik di dalam kelas.

"Kami mahu bantuan penuh disalurkan kepada SAR kerana ia melibatkan kebajikan dan masa depan pelajar Melayu khususnya," katanya.

Apabila ditanya tentang kesahihan dakwaan Dr Mahathir itu, Ustaz Shamsul yang mendapat pendidikan di sebuah sekolah agama rakyat di Pahang berkata, beliau percaya dakwaan itu ada kebenarannya.

Semalam, PAS menyelar tindakan kerajaan menggantung bantuan kewangan perkapita kepada semua Sekolah Agama Rakyat (SAR) tanpa bukti-bukti kukuh yang menyokong dakwaan bahawa pelajarnya telah diajar supaya membenci pemimpin-pemimpin tertentu.

Naib presidennya, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali ( gambar ) berkata tidak ada sebab mengapa nasib 600,000 pelajar terbabit diperjudikan atas alasan yang tidak pernah terbukti kebenarannya hingga ke hari ini.