Selidik 'Kedah Tua' bawah RMK-10
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan menumpukan pada satu projek penyelidikan khusus berhubung penemuan baru tamadun Lembah Bujang di Kedah di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).
Menterinya Datuk Seri Rais Yatim berkata penyelidikan ini akan melibatkan pakar-pakar dari luar negara untuk meneliti dan mengkaji penemuan itu dari segi arkeologi, antropoli dan saintifik supaya sejarah tamadun tidak lagi bergantung kepada andaian atau perkara yang dibuat secara menyorot fakta-fakta luaran.
"Saya juga akan cuba meletakkan program dan projek ini bersama-sama dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri sebagai program induk di kementerian ini di bawah RMK-10.
"Tapi amaunnya masih belum ditetapkan lagi. Ini adalah bergantung kepada kertas kerja yang akan dikemukakan oleh Prof Zuraina (Majid) dan Prof Mohd Mokhtar (Saidin) kemudian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Lembah Bujang dan Tamadun Awal di Asia Tenggara, di Kuala Lumpur semalam.
Prof Emeritus Zuraina merupakan Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara manakala Prof Mokhtar ialah Pengarah Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia.
Beliau berkata perolehan daripada pakar-pakar yang terlibat akan membantu untuk menentukan kedudukan pra sejarah sekaligus menyatakan dengan jelas bahawa di Malaysia, terdapat satu tamadun yang tertua di Asia Tenggara, iaitu lebih tua berbanding masyarakat Angkor Wat di Kemboja atau Candi Borobudur di Jawa, Indonesia.
Penemuan USM menunjukkan kawasan perusahaan besi di Lembah Bujang, yang dipercayai telah dibina dalam era Kerajaan Kedah Tua "adalah penting dari segi nasional yang menunjukkan bahawa tamadun Malaysia di lembah itu adalah lebih awal dari yang kelihatan".
Menurut Rais, jemaah menteri juga telah dimaklumkan mengenai penemuan baru ini dan mereka telah menyatakan minat untuk melihat penyelidikan mengenai tamadun tertua negara dilakukan secara berterusan bagi mendapatkan hasil yang dapat membanggakan negara.
"Dalam kita menentukan program-program kemanusiaan bagi RMK10, kita jangan sekali-kali lupa tentang betapa pentingnya soalan menyelidik menerusi sejarah, arkeologi dan lain-lain terhadap bangsa kita terhadap kebudayaan dan tradisi serta tamadun Malaysia sendiri," katanya.
Beliau berkata buat masa ini, Yayasan Al-Bukhary menyumbang sebanyak RM5 juta bagi membantu projek kajian yang dijalankan bersama oleh USM, Jabatan Warisan Negara serta penduduk tempatan.
Sementara itu, Rais turut mengingatkan pihak berkuasa di negeri Pulau Pinang dan Melaka menghormati nasihat dan cadangan yang diberikan oleh Unesco bertujuan memelihara pengiktirafan dua negeri itu sebagai tapak warisan dunia.
"Kita sudah berjaya meletakkan Malaysia di peta dunia. Saya cuma mohon supaya perolehan kita itu tidak disiasahkan atau dipolitikkan oleh mana-mana pihak supaya pandangan dunia terhadap Pulau Pinang dan Melaka terus-menerus mencapai tahap yang membanggakan dan sesuai dengan standard atau piawaian yang dikenakan oleh Unesco terhadap kita," katanya.
--Bernama

