Pemuda Umno hari ini menggesa kerajaan supaya menggunakan peruntukan undang-undang yang ada bagi mengakhiri desakan kumpulan pendidikan Cina terhadap pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Pengerusi Biro Pendidikannya, Dr Adham Baba berkata, kedegilan pertubuhan bukan kerajaan Cina, Dong Jiao Zong (DJZ), berhubung perkara itu boleh membawa kepada masalah yang lebih meruncing sekiranya ia tidak segera ditangani melalui undang-undang.

Beliau melahirkan kebimbangannya terhadap tindakan DJZ itu yang menurutnya boleh mengancam intergrasi kaum yang cuba dipupuk oleh kerajaan.

"Sekiranya mereka terus juga berdegil, saya rasa adalah wajar bagi kerajaan mengambil tindakan tegas, terutamanya di bawah Akta Hasutan," kata Dr Adham ketika dihubungi malaysiakini .

"Perkara ini perlu ditangani segera untuk memastikan segala apa yang telah diputuskan (oleh Dewan Tertinggi Barisan Nasional) mengenai pelaksanaan dasar baru itu, tidak terbatal hasratnya," katanya.

Dr Adham juga berpendapat bantahan DJZ itu setelah keputusan diambil, boleh merumitkan lagi keadaan serta menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat umum.

Bahasa ibunda

Katanya, DJZ begitu berani untuk terus menimbulkan perkara yang sensitif itu kerana kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan dari peringkat awal lagi.

Di samping itu, katanya, ianya juga disebabkan DJZ turut mendapat sokongan dari golongan tertentu dari kalangan kaum Cina.

Sementara itu, PAS hari ini mengulangi sokongan terhadap pendirian DJZ membantah pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Naib presiden PAS, Datuk Dr Hassan Ali menegaskan ia selaras dengan pendirian PAS supaya bahasa Melayu dan bahasa ibunda terus dijadikan bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik.

Beliau yang juga pengerusi Biro Pendidikan PAS berkata, parti itu menentang sekeras-kerasnya ancaman untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Hasutan terhadap mereka yang tidak bersetuju dengan dasar baru itu.

"PAS tidak menganggap pendirian yang diambil oleh DJZ , PAS atau mana-mana kumpulan serta individu sebagai 'cauvinis' atau bersifat perkauman," katanya.

Wakil kaum

Sehubungan itu, Dr Hassan menuntut supaya kerajaan menarik balik segera keputusannya dan sebaliknya membenarkan bahasa ibunda terus dijadikan bahasa pengantar untuk matapelajaran Sains dan Matematik.

Sebelum ini, cadangan kerajaan untuk memperkenalkan dasar baru pendidikan ini turut mendapat tentangan dari tokoh dan badan pejuang bahasa Melayu serta wakil-wakil kaum India.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan mengawasi pelbagai kenyataan DJZ yang dikatakan berbau hasutan serta mempolitikkan isu berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan masih belum berhasrat untuk mengambil tindakan ISA terhadap pemimpin DJZ.

Isnin lalu, presiden Dong Zong, Quek Suan Hiang, menyifatkan dasar yang diperkenalkan kerajaan bagi menangani isu bahasa itu, boleh menghakis sistem pendidikan bahasa ibunda di negara ini.

DJZ merupakan gabungan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).