Langkah Misi Keamanan Sejagat (GPM) menghulurkan bantuan kewangan kepada umat Islam yang dilanda kemiskinan akibat perang dan bencana alam, tidak seharusnya disalahanggap dan dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan negatif tertentu.

Timbalan pengerusinya, Lt Kol (B) Shahrir Hashim, berkata GPM yang dianggotai 77 badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia, hanya sekadar membantu umat Islam yang mengalami tekanan hidup di serta dunia untuk merasa sedikit kegembiraan berbuka puasa pada bulan Ramadan ini.

"Kami amat berharap keperihatinan ini tidak disalahanggap dan dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan yang negatif," katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun beliau tidak menjelaskan lebih lanjut, tetapi difahamkan GPM tidak mahu usahanya membantu umat Islam, antaranya di Afghanistan, Palestin, Kashmir, Selatan Filipina dan Indonesia disalahanggap dengan dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan yang dikaitkan dengan keganasan.

Amerika Syarikat kini melancarkan kempen keganasan terutama terhadap kumpulan-kumpulan militan Islam yang dikaitkan dengan kumpulan al-Qaeda yang mengaku bertanggungjawab menyerangkan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York September lalu.

Menurut Lt Kol (B) Shahrir lagi, bantuan tersebut juga disalurkan kepada umat Islam di Gujerat (India), Sri Lanka, Vietnam, Kemboja dan Burma.

Pelarian Afghanistan

Menurutnya, GPM berjaya mengumpulkan RM150,000 sejak September lalu melalui kempen penajaan Iftar Ramadan untuk disalurkan kepada umat Islam di negara-negara terbabit.

"GPM juga tidak lupa kepada mereka yang memerlukannya di Malaysia. Lebih 200 keluarga miskin mendapat manfaat dari dana itu, berupa sumbangan beras, tepung, gula, bijiran dan minyak masa," katanya.

Katanya, GPM perihatin terhadap isu-isu krisis kemanusian sejagat dan sejak penubuhannya pada 26 Sept tahun lalu, ia telah membantu pelarian Afghanistan melalui program bantuan kemanusiaan, pendidikan dan kesihatan.

"Pengagihan di Afghanistan, Pakistan dan Kashmir akan diuruskan oleh pejabat GPM di Peshawar. Peruntukan bagi rakyat Palestin pula diserahkan kepada Institut Penyelidikan Sosiologi Malaysia (MSRI)," tambahnya.

Menurut Lt Kol (B) Shahrir, walaupun jumlah dana tersebut adalah tidak besar, tetapi ianya dapat dimanfaatkan oleh lebih 60,000 umat Islam di negara-negara terbabit sepanjang bulan Ramadan ini.