Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu memberi keutamaan untuk mengurus dan memperbetulkan setiap persepsi negatif yang ditimbulkan pembangkang yang semata-mata mahu mengelirukan rakyat terhadap parti dan kerajaan.

Timbalan perdana menteri yang juga timbalan presiden Umno itu berkata anggota dan pemimpin parti perlu sentiasa sedar bahawa pembangkang tidak akan berhenti untuk memutar-belitkan fakta sebenar dalam sesuatu isu.

"Pihak pembangkang tidak akan berhenti untuk memutar-belitkan banyak fakta, kadang-kadang sampai ke peringkat mahkamah, buat laporan tidak betul dalam media sosial, diputarbelitkan dengan pembohongan dalam pelbagai peringkat ditambah pula dengan fitnah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Jasin, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, ketua Umno Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah dan Veteran Umno Tan Sri Abdul Aziz Tapa.

Muhyiddin berkata pembangkang tidak segan silu dalam perbuatan mereka untuk menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat terhadap BN dan kerajaan.

    

"Kita perlu menguruskan persepsi, bagaimana cara hendak kita  menguruskan persepsi itu tidak perlu saya jelaskan di sini, yang penting  salah satu ukurannya menunjukkan parti kita kuat, hubungan antara parti  komponen Barisan Nasional mesti kukuh," katanya.

Muhyiddin berkata sejak pilihan raya umum ke-12 pada 2008, banyak persepsi negatif oleh masyarakat terhadap parti dan kerajaan tetapi persepsi negatif itu semakin berkurangan berikutan langkah yang diambil oleh pucuk pimpinan parti dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Perdana Menteri mengambil inisiatif dari segi imej kerajaan dengan  mengambil langkah seperti memperkenalkan Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia Kesepuluh, dan beberapa lagi bidang pembangunan ekonomi yang kita akan kemukakan dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata populariti perdana menteri agak meningkat dalam tahun ini hasil tinjauan pihak tertentu dan ini menunjukkan satu persepsi yang  baik.

Terdahulu semasa berucap, Muhyiddin mahukan parti melakukan tranformasi dengan lebih pantas sebagaimana kepantasan tranformasi dalam kerajaan.

Beliau berkata kepimpinan semua peringkat perlu bekerja keras  menjayakan perjuangan parti dalam membela nasib rakyat dengan melaksanakan  pelbagai program yang dirancang.

- Bernama