S'gor usul lantik ADUN BN pengerusi PAC negeri
Selangor akan melantik ADUN Sungai Burong Datuk Mohd Shamsuddin Lias dari BN sebagai pengerusi jawatankuasa kira-kira wang awam negeri bagi menggantikan Lee Kim Sin.
Pelantikan itu akan dilaksanakan melalui satu usul yang akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri esok.
Usul berkenaan juga akan mengekalkan Lee yang juga wakil PKR Kajang sebagai anggota jawatankuasa berkenaan.
Speaker Teng Chan Kim berkata keputusan untuk memfailkan usul dibuat selepas kerajaan negeri dan pembangkang bersetuju dengan keputusan berkenaan.
"Ini menunjukkan kerajaan Pakatan Rakyat telus kerana sedia melantik ahli pembangkang ke jawatankuasa kira-kira awam,' katanya dalam satu sidang media di bangunan DUN Selangor hari ini.
Katanya langkah itu juga menunjukan keterbukaan Selangor dalam menghadapi isu-isu yang membelenggu kerajaan negeri itu, termasuk isu kecurian pasir.
"Kalau kita hendak tutup isu pasir, kita tidak akan lantik pembangkang," katanya sambil menambah bahawa langkah itu akan mencipta sejarah kerana belum pernah diamalkan di mana-mana negeri di Malaysia.
Beliau juga menjelaskan, Mohd Shamsudin dipilih berdasarkan pengalamannya dalam bidang audit, selain pernah bertugas sebagai pegawai daerah.
Ketika ditemui wartawan, Mohd Shamsudin berkata beliau setakat ini belum memutuskan sama ada akan menerima pelantikan tersebut.
"Saya akan putuskan bila tiba masanya," katanya.

