Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkecilkan kecekapan beliau mentadbir sumber air di negeri itu hanyalah untuk melindungi kepentingan ketua pegawai eksekutif Puncak Niaga (M) Sdn Bhd Tan Sri Rozali Ismail.

"Ini dibangkitkan oleh timbalan perdana menteri bertujuan melindungi ketua eksekutif puncak niaga kerana beliau juga bendahari (Umno) Selangor dan juga Hulu Selangor.

"Jadi lebih baik jaga hati kroni daripada beri peluang kepada Selangor dapat air lebih murah dan lebih cekap diuruskan," katanya dalam satu sidang media di bangunan SUK hari ini.

Tambahnya, walaupun beliau "tidak berapa cekap" dalam menguruskan sumber itu di Selangor, tarif bagi penggunaan air lebih murah daripada yang dibayar oleh penduduk Johor.

"Johor yang pernah diperintah oleh timbalan perdana menteri juga pernah kenakan kenaikan harga air," katanya.

Khalid berkata demikian sewaktu mengulas laporan media yang memetik kenyataan Muhyiddin bahawa negeri Selangor akan menghadapi krisis air serius menjelang 2014.

Dilaporkan, krisis tersebut, bakal berlaku disebabkan pentadbiran negeri masih ‘bermain politik’ dengan kerajaan persekutuan dalam isu pengurusan air Selangor.

Muhyiddin juga dilaporkan berkata, Selangor akan memperolehi bekalan air dari negeri Pahang sekiranya masih berada di bawah pentadibiran BN, yang menyetujui kontrak penyaluran air tersebut.

Mengulas kenyataan itu, Khalid berkata masalah yang dihadapi dalam industri air Selangor adalah disebabkan usaha penswastaan oleh kerajaan BN sebelum.

Jelasnya, Puncak Niaga dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menguruskan sumber berkenaan.

Katanya, keadaan itu memaksa kerajaan persekutuan memberi pinjaman mudah berjumlah RM302.8 juta kepada syarikat tersebut pada Disember 2009.

"Ini pinjaman tak payah bayar selama lima tahun dan bayar sedikit-sedikit dalam masa 20 tahun. Kemudian, tidak ada faedah dikenakan. Ini bukanlah cara penswastaan yang kita kehendaki," katanya lagi.

Tambahnya, kerajaan Selangor tidak akan menghalang projek penyaluran air dari Pahang.

"Tetapi kita harapkan semua ini dilakukan supaya tidak ada yang dapat keuntungan berlebihan dengan jadi kontraktor kepada projek ini," tambahnya.

ADS