Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Aktiviti angkut pasir masih rancak di Dengkil
Diterbitkan:  Jul 12, 2010 7:38 PM
Dikemaskini: 1:11 PM

Walaupun pendedahan telah dibuat semalam berhubung kegiatan mengorek pasir berdekatan taman rekreasi Paya Indah Wetlands di Dengkil, aktiviti mengangkut pasir didapati masih rancak berjalan.

    

Tinjauan Bernama hari ini mendapati banyak lori pasir keluar masuk ke kawasan berkenaan menggunakan laluan di Kampung Olak Lempit di Kuala Langat.  

    

Malah Jalan Meranti yang dijadikan laluan keluar masuk itu didapati amat sibuk dengan kehadiran lori dengan kekerapan kira-kira 20 buah bagi tempoh setengah jam.

    

NONE Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Mak Yah, 54, berkata kehadiran lori pasir sejak dua bulan lalu di kawasan tersebut telah mendatangkan  kesukaran kepada penduduk di kawasan itu.

    

Katanya jalan yang telah ditar sebelum ini, rosak dan berlubang ekoran kerja-kerja mengangkut pasir oleh lori yang turut membawa muatan lebih.

    

"Keadaan juga menjadi bising, berdebu dan membahayakan keselamatan orang yang lalu lalang, terutamanya kanak-kanak.

    

"Ramai ibu bapa juga tidak membenarkan anak-anak mereka menaiki basikal untuk ke sekolah seperti sebelumnya, dengan menghantar mereka sendiri berikutan bimbang tentang keselamatan mereka," katanya kepada Bernama hari ini.

    

Surirumah itu berkata aktiviti mengangkut pasir itu turut dijalankan sehingga lewat malam dan menganggu ketenteraman kampung tersebut.

    

Katanya walaupun aduan telah dibuat namum aktiviti masih berjalan seperti biasa.

    

Semalam, bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mendedahkan aktiviti mengorek pasir di kawasan berkenaan yang dikhuatiri menjejaskan alam sekitar serta struktur tanah pada masa depan.

    

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri Selangor menghentikan sebarang aktiviti mengorek pasir bagi mengelakkan Selangor menjadi "negeri berlubang".

ADS