Satu lagi laporan polis telah dibuat terhadap pengerusi Biro Pendidikan Pemuda Umno, Dr Adham Baba, berhubung kenyataannya mengenai sekolah jenis kebangsaan Cina di dalam laman web pergerakan itu pada 13 Nov lalu.

Laporan terbaru itu dibuat oleh presiden penaja Yayasan Pembangunan dan Kajian Pendidikan Tamil Malaysia, M Managor di balai polis Dang Wangi jam 3.30 petang ini, mendakwa kenyataan Dr Adham itu berbaur hasutan "yang menimbulkan ketakutan" di kalangan bukan Melayu.

Antara lain, kenyataan Dr Adham itu meminta agar kerajaan bertindak tegas, termasuk menutup semua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan mewujudkan satu jenis aliran sekolah sahaja.

Gesaan itu dibuat sebagai reaksi beliau terhadap kenyataan pergerakan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong (DZJ), yang dikatakan "cuba bermain api" dengan menuduh pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sebagai satu 'nahas' yang bertujuan menghapuskan identiti sekolah Cina.

Ketika dihubungi malaysiakini , Managor berkata, walaupun kenyataan asal Dr Adham tidak menyebut Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), tetapi gesaannya agar kerajaan mewujudkan hanya satu aliran sekolah, boleh melibatkan penutupan SJKT pada masa hadapan.

"Kenyataan beliau merupakan sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan keharmonian kaum di Malaysia," kata Manogar, yang ditemani dua ahli jawatankuasa yayasan tersebut ketika membuat aduan itu.

Pegawai polis yang bertugas di Balai Polis Dang Wangi mengesahkan menerima aduan tersebut.

Minta maaf

Kenyataan Dr Adham itu, kata Manogar, kemudiannya telah dipetik oleh akhbar-akhbar utama negara dan ini menimbulkan keresahan di kalangan kaum Cina dan India.

"Kami berpendapat beliau gagal menghayati kenapakah penentangan dibuat terhadap isu penggunaan bahasa Inggeris (bagi Sains dan Matematik) ini," katanya.

"Sesiapa juga sepatutnya faham bahawa kenyataan DJZ itu merupakan pendiriannya sebagai pejuang bahasa ibunda mereka di negara ini dan ianya tidak bertentangan dengan perlembagaan negara," jelas beliau.

Menurutnya, nasib yang sama akan menimpa SJKT sekiranya kerajaan menerima bulat-bulat kenyataan Dr Adham bagi mewujudkan sekolah satu aliran di Malaysia.

"Keengganan beliau untuk meminta maaf turut menggambarkan keangkuhan beliau yang gagal memahami perasaan masyarakat berbilang kaum di negara ini," katanya lagi.

Sebelum ini, satu aduan yang sama dibuat oleh DAP di Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya, pada 15 Nov lalu, terhadap Dr Adham.

Laporan itu dibuat oleh pemangku pengerusi Pemuda DAP, Loke Siew Fook kerana mendakwa tiada sesiapa yang boleh mempersoalkan hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.