Selangor merakyatkan informasi

   

Kerajaan Selangor membentangkan rang undang-undang kebebasan maklumat di sidang Dewan Undangan Negeri  hari ini.

Rang undang-undang itu dicadangkan oleh Exco Pelancongan, Elizabeth Wong dan disokong Exco kerajaan negeri, Dr Xavier Jayakumar.

Ketika membentangkannya, Elizabeth berkata, satu jawatan pegawai maklumat akan diwujudkan di setiap jabatan bagi tujuan merakyatkan informasi.

"Peguam negara telah suarakan keinginan untuk kaji rang ini. Saya yakin kelulusan ini akan bawa pentabdbiran baru dan berbeza di mana keterbukaan dan kepercayaan jadi asas budaya semua, dari pegawai kerajaan hingga kepada menteri besar sendiri.

"Tidak dinafikan ini merupakan tanggungjawab berat tapi inilah yang dinamakan ketuanan rakyat dan inilah maksud reformasi," katanya lagi.

Tambahnya, langkah ini dijangka bakal meningkat keyakinan pelabur dan kepercayaan rakyat kepada sistem pemerintahan.

Elizabeth berkata, pendirian kerajaan negeri terhadap ketelusan telah dibuktikan dengan jelas selama pentadbiran Pakatan Rakyat.

Beliau memberi contoh langkah-langkah kerajaan negeri seperti pengisytiharaan harta oleh barisan Exco, pembentukan Jawatankuasa SELCAT dan tindakan Menteri Besar, Tan Sri Khalid brahim untuk mendeklasifikasi dokumen-dokumen Akta Rahsia Rasmi (OSA) di bawah kuasa menteri besar.

Rang undang-undang ini bertujuan untuk mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam, untuk memberi kepada setiap individu peluang untuk akses kepada maklumat yang dibuat oleh setiap jabatan.

Setiap jabatan di bawah kerajaan negeri akan melantik seorang pegawai maklumat yang berfungsi sebagai perantara jabatan dengan orang awam dalam permohonan maklumat.

Segala permohonan perlu dituju kepada pegawai maklumat yang berkenaan, dan beliau wajib memberi jawapan dalam masa 30 hari ataupun tujuh hari dalam kes-kes kecemasan.

Menurut Elizabeth, lebih daripada 80 negara telah memperkenalkan undang-undang kebebasan maklumat.

Beliau menyuarakan rasa kesal kerana Malaysia masih jauh ketinggalan dalam penjaminan kebebasan maklumat.

“Kerajaan negeri Selangor tidak berhasrat untuk menunggu Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan.

“Maka kami menjadi peneraju ke arah menggubal Rang Undang-Undang Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010.”

Menurutnya, rang undang-undang akan dikaji oleh Jawatankuasa Pilihan Khas dan perundingan awam akan diadakan.

Jawatankuasa ini akan membentangkan keputusan, cadangan dan/atau pindaan di Dewan Negeri Selangor selewat-lewatnya pada bulan April

“Kami yakin masa depan negeri Selangor lebih cerah dengan kerajaan yang telus dan terbuka,” katanya.

“Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010 merupakan langkah yang penting untuk mencapai matlamat tersebut,” tambahnya.

Bacaan kali pertama Rang kebebasan maklumat diluluskan dan dibawa untuk penelitian jawatankuasa dipengerusikan pembantu exco perumahan, Saari Sungib (Hulu Kelang).

Jawatankuasa itu mempunyai enam anggota - tiga wakil PKR dan dua wakil BN san seorang wakil PAS.

Tiga wakil PKR itu ialah Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Amiruddin Sari (Batu Caves) dan Hannah Yeoh (Subang Jaya).

Manakala wakil BN pula terdiri daripada Abdul Shukur Idrus (Kuang) dan Datuk Karim Mansur (Tanjung Sepat).

Seorang lagi anggota jawatankuasa berkenaan mewakil PAS, iaitu Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang).

 

 

 

 

 

VOIZ

Berita Terhangat